Ekoran spekulasi kuat yang Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud akan membubarkan DUN Isnin depan - lebih awal daripada yang dijangka sebelum ini untuk memberi laluan kepada pilihan raya negeri ke-10 - Pakatan Rakyat Sarawak juga sudah bersedia untuk memberi saingan hebat kepada BN.
Hari ini beberapa akhbar utama dan portal berita melaporkan yang Taib mungkin membubarkan DUN Isnin ini selepas menemui Yang Dipertua Sarawak, Tun Abang Mohammad Salahuddin Abang Barieng, semalam.
Beberapa pihak berpendapat pembubaran lebih awal DUN akan 'memerangkap' Pakatan.
Bagaimanapun PKR dan DAP mengumumkan bahawa mereka sudah bersedia untuk berdepan dengan kemungkinan DUN dibubarkan lebih awal.
“Kita bersedia untuk bertanding pada bila-bila masa," kata setiausaha
DAP Sarawak Chong Chieng Jen (kiri).
Malah, kata ADUN Kota Sentosa dan ahli parlimen Bandar Kuching, partinya telahpun merangka tema kempen, poster, sepanduk, risalah dan bahan kempen yang lain.
“Kami tak ada masalah. Draf dan kandungan bahan kempen sudah disedia,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.
DAP cawangan Kuching telah merekrutkan sukarelawan kempen sejak bulan lepas , dan Chong berkata, pasukan kempen Kuching akan terdiri daripada 100 hingga 200 anggota, tidak termasuk agen pengundian.
Beberapa pekerja dari ibupejabat DAP Kuala Lumpur juga telah ditempatkan di cawangan Kuching untuk membantu membuat persediaan menghadapi pilihan raya negeri.
Sementara itu, pengarah pilihan raya Sarawak PKR, Nicholas Bawin (kanan) berkata, parti itu lebih bersedia kali ini, berbanding sewaktu pilihan raya negeri 2006 dan pilihan raya parlimen 2008.
“Pemimpin cabang kami telah mendekati komuniti dan rakyat, untuk mewujudkan kesedaran di peringkat akar umbi. Persedian kami adalah lebih baik daripada masa lalu," katanya kepada Malaysiakini.
No comments:
Post a Comment