KUALA LUMPUR 8 April – Seorang bekas pegawai bank dipenjara dua hari dan didenda RM20,000 oleh Mahkamah Sesyen hari ini selepas mengaku bersalah atas tuduhan mendedahkan maklumat akaun-akaun Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Dr Wee Ka Siong kepada orang lain pada Februari tahun lepas.
Hakim S.M. Komathy Suppiah membuat keputusan itu terhadap K. Jeyamary, 34, yang kemudian mengarahkan tertuduh menjalani hukuman bermula hari ini.
Komathy turut memerintahkan tertuduh dipenjara tiga bulan sekiranya gagal membayar denda itu, bagaimanapun beliau membenarkan tertuduh menjelaskan denda itu secara ansuran sebanyak lima kali.
Jeyamary, yang sebelum ini bekerja di Malayan Banking Berhad (Maybank) di Setapak, didakwa telah mendedahkan maklumat akaun-akaun itu kepada kenalannya yang juga seorang penyiasat persendirian, M. Ramesh, sewaktu bekerja dengan bank itu.
Jeyamary, yang diwakili peguam Jag Ramachandran, melakukan kesalahan itu di Tingkat 2, Setapak Business Centre, Jalan Genting Klang dekat sini, pada 10 Februari tahun lalu mengikut Seksyen 97(1) Akta Bank dan Institusi-Institusi Kewangan 1989 yang memperuntukkan hukuman penjara tiga tahun atau denda tidak melebihi RM3 juta atau kedua-duanya. – Bernama
No comments:
Post a Comment