Kerajaan tidak bercadang menaikkan harga petrol RON 95 buat masa ini sekalipun harga semasa minyak mentah di pasaran dunia semakin meningkat.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, bagaimanapun kerajaan tidak dapat menjamin perkara tersebut pada masa depan jika krisis di negara pengeluar minyak berterusan.
"Sekarang ini kita (kerajaan) tanggung subsidi bagi RON 95 sebanyak 79 sen, tambahan subsidi sebanyak RM4 bilion,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Bank Rakyat 2011, di Kuala Lumpur hari ini.
Ismail Sabri diminta mengulas kenaikan harga petrol RON 97 sebanyak 20 sen seliter yang berkuat kuasa hari ini.
Beliau berkata, sekalipun kerajaan sebelum ini pernah menyatakan subsidi melebihi 30 sen ditanggung pengguna, namun demi kepentingan rakyat kerajaan tidak berbuat demikian menyebabkan beban subsidi yang ditanggung semakin besar.
Ditanya sama ada kenaikan harga RON 97 akan meningkatkan harga barangan, Ismail Sabri berkata tidak ada sebab untuk perkara itu berlaku memandangkan lori pengangkut menggunakan diesel.
Pada masa yang sama beliau turut meminta masyarakat mengubah sikap terlalu bergantung kepada subsidi kerana tindakan sedemikian mampu membantutkan usaha kerajaan membantu golongan yang benar-benar memerlukan.
"Rakyat juga perlu tanya pada diri sendiri adakah perlu RM4 bilion itu kita nak tanggung subsidi minyak atau nak gunakan untuk pembangunan lain," katanya.
Mengulas perkembangan lain, Ismail Sabri berkata sebuah jawatankuasa kerja bagi meneliti cadangan mewujudkan kedai menjual bahan makanan pada harga diskaun sudah ditubuhkan.
"Kita akan bincang dengan beberapa pihak luar, peniaga dan sebagainya. Banyak perkara yang perlu kita lihat dari segi kedai mana yang hendak digunakan, apa produk yang hendak dijual. Tapi yang jelasnya produk yang nak dijual itu nanti mestilah betul-betul produk keperluan kita," katanya.
Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata kerajaan sedang mengkaji untuk memperkenalkan pembukaan kedai yang menjual bahan makanan pada harga diskaun untuk dijual kepada rakyat bagi membantu rakyat menghadapi inflasi.
No comments:
Post a Comment