SHAH ALAM 5 Julai – Isteri Noorhisham Mohamad, seorang daripada tiga mangsa yang dibunuh bersama-sama jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya, memberitahu bahawa suaminya itu enggan menyatakan di mana dia berada pada pukul 8 malam, 30 Ogos tahun lalu.
Suzana Radin Pangat, 39, yang memberi keterangan di Mahkamah Tinggi di sini hari ini berkata, suaminya juga kedengaran seperti sedang tergesa-gesa apabila segera mematikan talian telefon tanpa memberitahu lokasi dia berbuka puasa serta juadah yang dimakan seperti
kebiasaan semasa menghubunginya.
‘‘Saya tanya dia berbuka puasa di mana, dia tidak jawab. Tidak sempat cakap apa-apa, dia sudah matikan telefon.
‘‘Seperti biasa kalau dia telefon, saya akan tanya berbuka di mana dan makan apa. Saya tidak ingat berapa lama kami bercakap tetapi sekejap sangat.
‘‘Biasanya kalau telefon, dia juga akan cakap berada di mana. Tetapi pada hari kejadian, dia tidak beritahu, ia satu kelainan,’’ kata isteri kepada pegawai Bank CIMB Cawangan Kampung Baru itu.
Suzana yang bertugas sebagai pembantu peribadi di Ibu Pejabat Bank CIMB itu berkata demikian semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ishak Mohd. Yusoff serta semasa disoal balas oleh peguam Amer Hamzah Arshad.
Menurut saksi pendakwaan kelapan itu, beliau juga merasa marah apabila Noorhisham memberitahu tidak dapat pulang selama tiga hari untuk membantu menyelesaikan masalah Sosilawati ketika bercakap melalui telefon setengah jam sebelum suaminya dikatakan dibunuh.
Dia bertindak menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) lima minit kemudian kepada Norhisham yang berbunyi: ‘Kenapa awak sanggup nak bantu orang lain tetapi tinggalkan saya dan anak-anak selama tiga hari.’
Suzana mengakui, dia turut tidak menjawab panggilan telefon Noorhisham beberapa minit kemudian kerana sedang marah dan tidak dapat menerima tindakan suaminya pada ketika itu.
Dia hanya cuba menghubungi suaminya semula semasa bangun untuk bersahur pada pukul 3 pagi keesokan hari tetapi tidak berjaya.
‘‘Selepas berbuka puasa, suami telefon dan beritahu dia tidak boleh pulang tiga hari sebab ada hal. Saya tanya kenapa, dia kata hendak cuba selamatkan Sosilawati. Kamal (Kamaruddin) ugut Sosilawati sebab ada gambar tidak elok hendak disebarkan. Jadi dia dan Ahmad Kamil terpaksa bantu dalam hal ini.
‘‘Lepas itu dia minta saya faham situasi dan minta maaf banyak-banyak dengan saya. Dia kata, dalam masa tiga hari, dia akan balik dan ceritakan segalanya. Bila saya tanya dia di mana dia tidak jawab dan terus matikan talian,’’ katanya sambil menangis.
Terdahulu, Suzana memberitahu, Noorhisham memakai baju korporat CIMB berwarna hijau dan memakai jam tangan jenama Longines hadiah daripada bank tersebut, semasa menghantarnya di pejabat pada pukul 8 pagi.
Jelas saksi, suaminya ketika itu memberitahu dia akan ke Banting pada waktu petang bersama-sama Ahmad Kamil atas urusan perniagaan Sosilawati.
Pada prosiding hari ini, Suzana turut mengecam jam tangan Longines dan telefon bimbit Blackberry Bold hitam kepunyaan suaminya. Perbicaraan bersambung esok.
No comments:
Post a Comment