Seorang tukang kasut yang didakwa membawa pisau dalam perhimpunan BERSIH 2.0 menuntut gantirugi RM 10 juta dan permohonan maaf secara terbuka oleh Berita Harian - akhbar yang memuatkan laporan itu.
Menurut notis tuntutan Abdul Razak Endot, Berita Minggu dan The New Sraits Times Press (M) sebagai penerbit dan pencetak dikehendaki mematuhi notis itu dalam tempoh 21 hari dari tarikh penerimaannya.
Notis itu dihantar oleh tetuan Sazali & Lim pada 10 Ogos lalu. Harian itu masih mempunyai seminggu untuk memenuhi tuntutan itu sebelum tindakan mahkamah dimulakan.
Menurut notis itu lagi, Berita Harian pada 10 Julai lalu didakwa membuat pernyataan berupa fitnah di muka depannya melalui foto dan kapsyen yang membawa makna Abdul Razak sebagai perusuh yang membawa pisau.
Abdul Razak juga mendakwa foto itu dipinda dan/atau dikacauganggu dengan sengaja untuk memberikan gambaran dia memegang sebilah pisah dan kapsyennya pula merupakan fitnah.
"Pernyataan-pernyataan dan paparan imej/foto yang dipinda tersebut adalah palsu, tidak berasas dan merupakan fitnah jahat terhadap pelanggan kami dan dibuat dengan niat niat untuk memfitnah pelanggan kami dan merosokkan nama baik serta reputasi dan telah menyebabkan pelanggan kami dipandang rendah oleh masyarakat," notis itu dipetik.
No comments:
Post a Comment