Kepimpinan PAS sedang mengatur langkah bagi menggantikan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak yang dikatakan tidak sihat akibat serangan sakit jantung, bulan lalu.
Menurut akhbar harian Inggeris,The Star hari ini, presiden PAS Datuk Seri Hadi Awang dijadualkan menghadap Sultan of Kedah berhubung peralihan itu. Abdul Hadi juga dilaporkan akan berjumpa dan berbincang dengan pemimpin negeri di Alor Setar pada hujung minggu ini.
Di sebalik tekanan daripada kepemimpinan pusat PAS, menurut akhbar milik MCA itu, Azizan dikatakan cuba membantah dan mendakwa beliau masih sihat untuk meneruskan tugasnya sebagai menteri besar.
Antara nama-nama yang disebut-sebut bakal menggantikan Azizan, termasuk tiga ADUN kanan iaitu Datuk Phahrolrazi Mohd Zawawi (Pengkalan Kundor), Datuk Amiruddin Hamzah (Anak Bukit) dan Datuk Mohamad Taulan Mat Rasul (Tokai). Semua mereka adalah juga ahli exco kerajaan negeri.
Phahrolrazi, 58, dan Amiruddin, 49, adalah jurutera dalam bidang sivil manakala Mohamad Taulan, 69, adalah seorang peguam. Phahrolrazi juga adalah timbalan pesuruhjaya PAS Kedah manakala Amiruddin pula adalah bendahari negeri.
Perlembagaan negeri Kedah tidak memperuntukkan jawatan timbalan menteri besar.
The Star juga memetik Azizan, yang juga adalah pesuruhjaya PAS Kedah berkata ada usaha yang mahukan beliau berundur.
“Mereka beritahu saya, kami mahu awak berehat. Kami mahu gunakan tenaga dan kemahiran awak kemudian hari nanti. Saya ok, tetapi ada orang yang tidak mahu saya berada di sana lagi, ada yang mahu saya mati,” kata Azizan yang dipetik akhbar itu.
Menurut The Star yang memetik sumber PAS Kedah, parti itu sedang menyiapkan laporan mengenai kesihatan menteri besar dan Abdul Hadi akan diberikan taklimat semasa melawat negeri itu.
Laporan yang sama kemudiannya akan disampaikan ke pihak Istana hujung minggu ini.
Abdul Hadi dikatakan akan diiringi oleh orang kanannya dalam lawatan ke Kedah ini, iaitu setiausaha agung PAS Datuk Mustafa Ali.
Menurut The Star lagi, adalah difahamkan Abdul Hadi membuat panggilan telefon kepada menteri besar Kedah itu pada Rabu lalu untuk mengucapkannya Selamat Hari Raya. Beliau kemudiannya mencadangkan Azizan, 67, supaya berehat secukupnya dan membiarkan pemangku menteri besar mengambil alih tugasnya.
Namun, menurut sumber akhbar itu, Azizan tidak menerima baik cadangan berkenaan dan cuba membantah.
Sumber itu juga berkata peralihan dipercayai akan berlangsung bulan depan supaya keputusan penting kerajaan negeri tidak ditangguhkan.
No comments:
Post a Comment