PAS mempertikaikan slot ucapan Aidilfitri istimewa dan berturut-turut untuk isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor menerusi media elektronik sambil menegaskan, perkembangan seumpama itu tidak pernah berlaku di negara ini.
Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar berkata, “sebelum ini, tidak ada mana-mana isteri perdana menteri yang mendapat slotnya sendiri untuk memberikan ucapan sempena Hari Raya.
“Sebelum ini, hanya perdana menteri mendapat slot seperti itu,” katanya dipetik Harakahdaily.
Menurut Mahfuz, Rosmah adalah orang pertama dalam sejarah yang mendapat slot khas untuk menyamapaikan ucapan Aidilfitri selain Perdana Menteri.
Menurut beliau, usaha itu diambil kemungkinan untuk menceriakan kembali tahap penerimaan rakyat terhadap suaminya, perdana menteri Datuk Seri Najib Razak yang merudum teruk.
Hasil kajian Merdeka Center yang dikeluarkan Isnin lalu menunjukkan populariti Najib merosot sehingga 59 peratus berbanding 72 peratus pada Mei 2010.
“Mungkin bila slot ucapan hari raya Najib dan slot yang khusus untuk Rosmah dipaksa berkali-kali kepada mereka yang menonton TV sepanjang Hari Raya, tahap puas hati kepada Najib akan naik 95 peratus,” sindirnya.
Mahfuz berkata beliau tidak menolak kemungkinan Rosmah sendiri yang memaksa supaya diberikan slot khas untuk dirinya yang disiarkan berturut-turut sejak 1 Syawal.
“Maklumlah kuasanya besar sebagai isteri Perdana Menteri,” katanya merujuk kepada cakap-cakap bahawa Rosmah lebih berkuasa daripada Najib selaku perdana menteri dan Presiden Umno. Najib juga adalah Pengerusi BN.
Dengan sinis, Mahfuz juga dipetik Harakahdaily berkata, beliau berharap orang ramai tidak merasa loya apabila tidak henti-henti dipaksa menonton slot-slot ucapan mereka.
No comments:
Post a Comment