Saturday, October 15, 2011

Gerakan mahu lebih banyak kerusi dan parlimen Taiping

Gerakan mahu memenangi lebih banyak kerusi pada pilihan raya umum akan datang, termasuk kerusi Parlimen Taiping yang sebelum ini diserahkan untuk ditandingi Parti Progresif Penduduk (PPP).
    
Bercakap di hadapan perwakilan Majlis Anggota Seumur Hidup di ibunegara hari ini, Presiden Gerakan Tan Sri Dr Koh Tsu Koon berkata beliau telah mengarahkan jentera pilihan raya parti agar memastikan semua penyandang dapat mempertahankan kerusi masing-masing selain berusaha memenangi kerusi lain.

Mengakui tugas itu sukar, Koh yang mempengerusikan persidangan berkenaan selepas Pengerusinya Tun Dr Lim Keng Yaik tidak dapat hadir akibat jangkitan pneumonia, bagaimanapun percaya matlamat tersebut dapat dicapai.
    
"Walaupun kita mempunyai hampir 28,000 anggota baru tetapi ini bukan jaminan (untuk mencapai kejayaan), namun apa yang penting bagi kita ialah melangkaui 2 + 8," katanya.
    
Mengakui betapa pentingya Gerakan memenangi kerusi yang ditandingi kelak demi kelangsungan parti itu, Koh mahu perwakilan yang menghadiri Persidangan Perwakilan Kebangsaan (NDC) bermula hari ini mengemukakan formula kemenangan kepada parti.
    
"Kita mesti berusaha ke arah itu, mesti mensasarkan untuk menang lebih daripada dua kerusi (Parlimen), kita harus menetapkan KPI (Indeks Prestasi Utama) selepas NDC ini (bagaimana mahu memenangi lebih banyak kerusi)," katanya.    

Dalam pilihan raya umum 2008, Gerakan merekodkan prestasi paling buruk apabila tewas semua kerusi di Pulau Pinang yang merupakan pangkalannya, selain hanya menang dua kerusi Parlimen iaitu Simpang Renggam (Johor) dan Gerik (Perak), serta empat kerusi Dewan Undangan Negeri.

Mengenai hasrat bertanding semula di Taiping, Koh berkata: "Kami parti Gerakan sangat pemurah, kita benarkan kawan kita dari PPP untuk bertanding di Taiping dua kali, tetapi kali ini kita mahu kembali kerusi Taiping.".

Bernama

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...