Friday, June 13, 2008

‘Saya masih tinggal sebumbung’

Oleh Norhayati Nordin
yati@hmetro.com.my

KUALA LUMPUR: “Saya masih berkahwin, berkeluarga dan tinggal sebumbung,” tegas pelakon dan pengacara jelita, Datin Norish Karman berhubung desas-desus rumah tangganya yang dikatakan dalam keretakan.


Dia bagaimanapun enggan mengulas lanjut berhubung perkara itu, sebaliknya mengatakan tunggu masa yang sesuai.

“Apapun, selama ini saya tidak pernah bercerita secara eksklusif mengenai hal peribadi. Saya sedar sebagai artis perkara sebegitu tidak boleh dielakkan.

“Semua yang berlaku dan apa saya lalui ingin diketahui umum tidak kira baik atau buruk,” katanya ketika ditemui pada sidang media mengenai teater Bukan Dejavu di Istana Budaya di sini, semalam.

Justeru, dia tidak pernah marah terhadap apa yang dilaporkan media massa.

“Pada saya, mereka (media massa) sahabat. Ini perkara biasa bagi anak seni, terutama saya selepas kemunculan semula,” katanya.

Baru-baru ini, khabar angin tersebar luas mendakwa Norish, 34, sudah memfailkan tuntutan cerai terhadap suaminya, Datuk Hashimuddin Abdul Kadir, yang dikahwininya pada 1998.

Artis itu turut dikatakan membuat tuntutan mutaah berjumlah kira-kira RM500,000.

Hasil perkahwinannya dengan ahli perniagaan itu, mereka dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Haqiem Armany, 9, Hardy Amieran, 5, dan Putri Hanyz Amanda, 4.

Anak Hashimuddin daripada perkahwinan terdahulu, Halysha Nur, 14, turut tinggal bersama pasangan terbabit.

Norish berkata, dia akan mengadakan sidang media untuk meleraikan semua hal terbabit tetapi belum tiba masanya.

Dia seterusnya menjelaskan isu yang melanda dirinya bukan keluar daripada mulutnya sendiri, justeru tidak perlu memberi komen berlebihan.

Menjawab penerimaan anaknya berhubung isu yang kian ‘hangat’ diperkatakan itu, katanya, mereka tetap baik dengannya.

Malah, menurutnya, apa yang berlaku tidak menjejaskan anaknya kerana mereka sentiasa diingatkan mengenai dirinya seorang selebriti.

“Bagi saya, apa yang berlaku dalam keluarga itu hanya antara dua individu iaitu ibu bapa. Jadi, tiada sebab mengapa anak perlu terjejas. Dalam soal ini, saya takkan membiarkan perasaan mereka (anak) terguris dan untuk itu penjelasan sentiasa diberi.

“Jika memang tiada jodoh, itu disebabkan dua orang saja. Tiada sebab untuk mengaitkannya dengan anak dan keluarga,” katanya yang mengaku tidak sesekali berasa terhina atau jatuh martabat berhubung perihal peribadi digembar-gemburkan.

Harian Metro

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...