Friday, May 29, 2009

Satu maut, 6 tertimbus bangunan pusat beli belah runtuh

28/05/2009 8:16pm

PETALING JAYA 28 Mei – Seorang buruh warga Indonesia maut, manakala enam lagi dikhuatiri tertimbus apabila bangunan lama pusat membeli belah Jaya Supermarket setinggi enam tingkat di Seksyen 14 di sini runtuh ketika kerja-kerja mengubah suai dilakukan.

Menurut Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed,

kejadian dipercayai berlaku pukul 4.45 petang ini.

“Seramai 150 pegawai dan anggota polis, bomba, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia dan Rela dikerahkan ke tempat kejadian.

“Dua daripada mangsa sudah diselamatkan dan dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) manakala enam lagi dikhuatiri tertimbus,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Katanya, usaha mencari dan menyelamat dijalankan menjurus kepada kawasan di mana posisi mangsa-mangsa yang tertimbus dikenal pasti. – Utusan.

P'raya DUN Manek Urai 14 Jul

May 28, 09 11:55am

Pilihanraya kecil DUN Manek Urai, Kelantan ditetapkan pada 14 Julai ini, sementara penamaan calonnya jatuh pada 6 Julai - memberikan lapan hari tempoh berkempen.

Dalam pengumumannya di Putrajaya, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyatakan 12,293 pemilih termasuk 25 pemilih pos dijangka membuang undi di kerusi tersebut, bawah parlimen Kuala Krai.

Pilihanraya itu dipanggil akibat kekosongan susulan kematian penyandangnya Ismail Yaakub pada 22 Mei lalu.

Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata daftar
pemilih yang akan digunakan termasuk daftar pemilih tambahan yang dikemaskini sehingga Jumaat lepas.

Beliau menambah, penamaan calon dan penjumlahan rasmi undi diadakan di Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Yahya Petra 1, Kuala Krai.

Sembilan sekolah akan dijadikan pusat mengundi dengan seramai 350
petugas mengendalikan pilihanraya kecil itu.

Daftar pemilih terbabit mula dijual pada 15 Jun dan pengundi juga boleh membuat semakan menerusi laman web rasmi SPR www.spr.gov.my, selain di lima kaunter yang akan dikenal pasti.

Semakan juga boleh dibuat melalui SMS dengan menaip SPR SEMAK NO KAD PENGENALAN dan hantar kepada 15888 mulai 15 Jun ini.

Pengundi juga boleh menelefon ibu pejabat SPR di Putrajaya di talian 03-8885 6500 dan pejabat SPR Kelantan di talian 09-748 25 10.

SPM: Maksimum 10 Subjek

May 28, 09 2:18pm

Setiap pelajar yang menduduki Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) hanya dibenarkan mengambil 10 subjek maksimum mulai tahun depan.

Serentak dengan itu, beberapa perubahan akan dilakukan terhadap sistem pengredan SPM, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

"Ia akan mempunyai banyak implikasi positif, satu yang pasti adalah para guru akan berupaya memberi lebih tumpuan terhadap bilangan mata pelajaran utama dan guru juga akan lebih khusus," katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan kerja ke tapak projek Kompleks Pendidikan, Bandar Enstek di Nilai hari ini, lapor Bernama.

Muhyidin, yang juga menteri pelajaran berkata, daripada setengah juta pelajar yang mengambil SPM sebelum ini, kira-kira 48,000 pelajar mengambil lebih daripada 10 subjek.

Ini juga akan mengatasi masalah pada sesetengah subjek yang kekurangan guru, malahan ibu bapa dapat menjimatkan wang daripada terpaksa membayar lebihan subjek perlu diambil apabila menghantar anak mereka ke kelas tuisyen, katanya.

Muhyiddin berkata kementerian amat serius untuk merapatkan jurang di antara pelajar bandar dan luar bandar walapun perbezaan jurang ini tidak sejauh mana.

"Sebenarnya jurang ini tidak terlalu jauh tetapi masih ada perbezaan yang agak ketara dari sudut lain dan ini dilihat dari segi keputusan peperiksaan," katanya.

Pembaharuan yang dilaksanakan pada Rancangan Malaysia Ke-10 membabitkan pembangunan prasarana, tenaga guru dan cara pembelajaran murid, katanya.

"Lebih-lebih lagi di kawasan luar bandar ini terdapat ramai orang bumiputera Melayu, bumiputera yang agak miskin, kurang berkemampuan.

"Kita mahu pembangunan sekolah-sekolah di luar bandar sama tahapnya baik dari segi infrastruktur, cara pembelajaran sebagaimana yang terdapat di kawasan-kawasan yang sudah maju," kata Muhyiddin.

Beliau turut menyentuh mengenai kepentingan guru-guru yang berkelayakan untuk mengajar bahasa Inggeris, Sains dan Matematik di pedalaman merupakan cabaran utama bagi kementeriannya melaksanakan pembaharuan itu.

Walaupun kementerian ada menawarkan elaun sebanyak RM1,500 sebagai insentif sejak dari tahun lalu untuk mereka datang ke kawasan pedalaman misalnya di Sabah dan Sarawak, tetapi masih banyak cabaran lain perlu ditangani.

Beliau sedang memikirkan cara untuk menyenangkan kehidupan guru-guru yang dihantar ke kawasan pedalaman ini kerana walaupun mendapat elaun, kementerian sedar masalah lain seperti perumahan menjadi asas utama perlu diatasi.

Wednesday, May 27, 2009

Krisis PPP: Perbalahan penyokong Kayveas, Murugiah berterusan

BEKAS Ketua Pemuda PPP, R Ellan Govan (kiri) dan bekas Bendahari Agung, S Muthu Lingam melihat dokumen perlembagaan parti pada sidang media di Kuala Lumpur, hari ini. Mereka turut menyatakan sokongan penuh terhadap Senator Datuk T Murugiah sebagai Presiden parti. --fotoTHE STAR oleh ONG SOON HIN

KUALA LUMPUR: Bekas Bendahari Agung Parti Progresif Penduduk (PPP), S. Muthu Lingam mempertikaikan kesahihan dokumen yang dihantar oleh Presiden parti, Datuk M Kayveas ke Pendaftar Pertubuhan (ROS) yang didakwa hilang kerana disabotaj.

Muthu Lingam yang meletak jawatan Mei tahun lalu berkata, sepanjang menyandang jawatan Bendahari Agung, beliau tidak pernah menandatangani sebarang dokumen berkaitan kewangan parti.

Justeru beliau menyifatkan penyediaan dokumen oleh Kayveas yang dikatakan untuk melengkapkan laporan tahunan parti itu sejak tujuh tahun lalu sebagai sesuatu yang tidak masuk akal.

"Selama empat tahun memegang jawatan itu bermula tahun 2004, saya belum pernah melihat sebarang dokumen serta akaun yang sah dihantar ke ROS.

"Lebih mendukacitakan, saya tidak dibenarkan sama sekali menyediakan atau melihat dokumen yang telah disediakan oleh Datuk Kayveas sebagai Presiden serta tidak pernah menandatangani sebarang cek atau penyata bank," katanya dalam satu sidang media di sini, hari ini.

Turut hadir bekas Ketua Pemuda PPP, R Ellan Govan; Ketua Wanita Wilayah Persekutuan, Dr N S Srivalli serta kira-kira 20 ahli yang lain.

Semalam, Kayveas berkata, pihaknya akan menghantar beberapa dokumen bagi melengkapkan laporan tahunan parti itu ke pejabat ROS hari ini selepas mendapati terdapat kehilangan beberapa dokumen dari ROS, dipercayai disabotaj oleh pihak tertentu.

Muthu Lingam berkata, beliau telah beberapa kali mengutarakan rasa tidak puas hati berhubung tugas yang tidak dapat dilaksanakannya itu, namun Kayveas meminta beliau supaya tidak campur tangan dalam urusan kewangan parti itu.

"Bukankah menjadi tugas Bendahari Agung menyediakan laporan (kewangan).

"Jawapan yang sering diberikan adalah, sebagai seorang Presiden, beliau (Kayveas) tahu apa yang patut dilakukan dan meminta saya agar tidak terlalu memasuki urusan kewangan PPP dan ini sekali gus bertentangan dengan peruntukan tugas seorang Bendahari Agung yang digariskan dalam perlembagaan parti," katanya.

Dalam sidang media yang menyatakan sokongan penuh terhadap kepimpinan Senator T Murugiah sebagai Presiden itu, Muthu Lingam mencabar Kayveas supaya membuktikan kenyataan yang dibuat beliau hari ini tidak benar.

Sementara itu, Ellan berkata, beliau kesal dengan dakwaan Kayveas berhubung beberapa dokumen PPP yang hilang daripada ROS kerana kenyataan itu sekali gus seolah-olah mengatakan ROS tidak mempunyai prosedur dan kawalan keselamatan yang longgar.

Ellan yang digantung daripada PPP oleh Kayveas kerana menghadiri Perhimpunan Agung (EGM) Ahad lalu berkata, beliau kesal dengan kenyataan Kayveas dalam satu laporan akhbar yang mengatakan mereka ada berjumpa dan Ellan meminta digantikan bagi jawatan itu atas alasan sakit sedangkan pada hari yang sama, beliau telah digantung tugas.

"Saya ke Putrajaya pada Ahad lepas untuk menyokong EGM PPP bagi membolehkan Murugiah dipilih sebagai Presiden PPP setelah undi tidak percaya terhadap Kayveas dan bukannya memohon cuti," katanya.

Siswi saman UiTM selepas dicabul

Jimadie Shah Othman | May 27, 09 12:43pm

Seorang pelajar wanita mengambil tindakan undang-undang terhadap Universiti Teknologi Mara (UiTM) atas dakwaan cuai susulan insiden mencabul kehormatan yang dialaminya tahun lalu.

Pelajar itu, 21, didakwa mengalami trauma yang serius sehingga menangguhkan pembelajaran selepas didatangi seorang lelaki di bilik mandi asrama di kampus itu menjelang subuh, 28 November lalu.

Dalam percubaan rogol itu, lelaki terbabit didakwa menyentuh bahagian sulit pelajar berkenaan, yang tidak didedahkan identitinya.

pas khalid samad pc on uitm student molested case 270509 01Pelajar kampus induk di Shah Alam itu bagaimanapun berjaya meloloskan diri dengan bergelut dan menjerit sekuat hati.

Identiti suspek, yang berselur pendek dan bercoli hitam ketika kejadian kira-kira jam 5 pagi, tidak dapat dicam.

Siswi itu membuat aduan polis pada hari kejadian di balai polis Seksyen 6, Shah Alam.

Tindakan saman itu difailkan di Mahkamah Sesyen Shah Alam semalam melalui Hanipa Maidin, seorang ahli jawatankuasa pusat PAS, yang bertindak sebagai peguam pelajar berkenaan.

Dalam saman itu, UiTM sebagai defendan didakwa cuai menangani masalah keselamatan di universiti itu.

Hanipa berkata, jumlah ganti rugi yang dipohon tidak ditetapkan, sebaliknya pelajar itu menyerahkan kepada mahkamah bagi menentukannya.

Ahli parlimen Shah Alam, Khalid Samad yang menerima aduan ibu siswi berkenaan hadir bersama peguam itu dalam sidang media di Shah Alam pagi ini.

Siswi dan keluarganya bagaimanapun tidak hadir.

Menyifatkan tindakan siswi berkenaan sebagai jalan terakhir, Hanipa tetap berharap perkara itu boleh diselesaikan secara baik.

"Kita bawa ke mahkamah bukan untuk wang, tetapi kita tidak mahu perkara sebegini berlaku lagi," katanya.

Katanya, pihaknya memohon penjelasan Bahagian Hal Ehwal Pelajar UiTM pada penghujung Januari lalu tetapi sehingga kini tidak mendapat sebarang maklum balas.

"Kita ingat hendak selesaikan secara baik, tetapi UiTM tidak memberikan sebarang respons," katanya.

Sementara itu, Khalid pula mempersoalkan sikap universiti berkenaan kerana "bertindak seolah-olah tidak bersalah" sedangkan menjadi tanggungjawabnya menjaga keselamatan pelajar.

"Bila perempuan itu menjerit pun masih tak ada orang keluar. Dan saya boleh katakan, hendak masuk (ke dalam universiti) pun mudah, hendak keluar pun mudah.

"(Mangsa) terpekik, terlolong macam itu pun tak ada apa-apa. Maksudnya, apa jenis keselamatan yang disediakan oleh universiti untuk menjaga pelajar?" katanya.

ROS siasat segera 'dua presiden' PPP

May 27, 09 4:20pm

Pendaftar Pertubuhan (ROS) akan menyiasat segera status mesyuarat agung luar biasa PPP yang menimbulkan krisis dua presiden parti komponen BN itu.

Pendaftar Pertubuhan, Datuk Md Alias Kalil dipetik berkata laporan siasatan akan diserahkan kepada Datuk Seri Mohd Najib Razak sebelum mesyuarat agung PPP, 7 Jun ini.

Perdana menteri semalam mahu menyemak status PPP sebelum bersedia hadir merasmikan perhimpunan parti tersebut.

"Kita sedang siasat. Kena buat secepat mungkin. Seperti yang perdana menteri mahukan perkara itu diselesaikan dengan segera," katanya kepada Bernama hari ini.

Md Alias berkata pihaknya bukan sahaja perlu mengkaji daripada segi
undang-undang berhubung kemelut dalaman PPP itu tetapi juga perlu mendapatkan maklumat lain sebelum membuat keputusan.

Mengenai Presiden PPP Datuk M Kayveas yang mahu menemui ROS hari ini bagi menyerahkan beberapa dokumen mesyuarat tahunan parti yang hilang, Md Alias berkata beliau hanya tahu mengenainya di dalam akhbar.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai kenyataannya semalam berhubung status Kayveas yang masih kekal presiden PPP dengan alasan telah memberi penjelasan terperinci.

Semalam, Md Alias berkata ketika ini Kayveas masih kekal presiden sah PPP selagi ROS belum membuat keputusan mengenai siasatan membabitkan dakwaan Kayveas dan penentangnya yang dipecat Datuk T Murugiah bahawa masing-masing presiden PPP.

Md Alias dipetik berkata, semua jawatan dalam PPP bersifat status quo dan tiada masalah bagi parti itu untuk mengadakan mesyuarat agung tahunannya pada awal bulan depan.

Ahad lepas, Murugiah yang juga timbalan nenteri di Jabatan Perdana Menteri dipilih sebagai presiden baru dalam satu mesyuarat agung luar biasa parti yang diadakan di Putrajaya.

Tuesday, May 26, 2009

2 pemimpin PKR akui jumpa Aminah tapi nafi tawar ganjaran

PENGAKUAN... Anggota MT PKR, Cheah Kah Peng (tengah) hari ini mengaku yang beliau dan penolong exco kerajaan negeri Pulau Pinang, Peter Lim telah menemui calon Bebas Aminah Abdullah, 57, seperti yang didakwa Aminah semalam.

BUKIT MERTAJAM: Dua pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) menafikan mereka telah menawarkan ganjaran dalam bentuk ganti rugi kepada calon Bebas, Aminah Abdullah jika sanggup tidak bertanding dalam pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti.

Kedua-dua pemimpin berkenaan, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi PKR, Cheah Ka Peng, 43, dan Pegawai Khas kepada Exco PKR Pulau Pinang, Peter Lim Eng Nam, 32, mengaku mereka adalah dua individu yang terdapat dalam rakaman suara yang didedahkan oleh Aminah semalam.

"Kami tidak menawarkan apa-apa kepadanya... hanya berbincang perkara-perkara biasa," kata Cheah pada sidang media khas bagi menjelaskan mengenai isu tersebut di sini hari ini.

Selain itu mereka juga menafikan dakwaan Aminah bahawa kedua-dua mereka datang menemuinya.

Sebaliknya mereka menjelaskan pertemuan pada 13 Mei itu telah diatur oleh Aminah sendiri.

"Kak Minah (Aminah) sebelum ini selalu jemput saya datang ke rumahnya... jadi pada 12 Mei saya hubungi beliau untuk aturkan makan tengah hari keesokkan harinya dan Kak Minah minta saya ajak (Cheah) Ka Peng bersama.

"Kemudian pada pagi 13 Mei, Kak Minah hubungi saya semula untuk pastikan mengenai temu janji pada tengah hari itu.

"Beliau kata akan masak untuk kami, saya tak jangka kawan baik seperti kami telah digunakan dan dipermainkan oleh beliau.

"Beliau bukan hanya sediakan makanan, tapi juga sediakan perakam suara untuk kami... saya sangat sedih dan kecewa," kata Peter dalam sidang media tersebut.

Peter adalah Timbalan Ketua PKR Bahagian Batu kawan yang juga Pembantu Khas kepada Exco Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Law Choo Kiang.

Beliau juga pernah bertanding di DUN Batu Maung pada pilihan raya umum 2004.

Semalam Aminah mendedahkan bukti berbentuk rakaman audio perbualan antara beliau bersama dua wakil PKR yang cuba menawarkan ganjaran kepadanya termasuk wang sebanyak RM80,000 dan jawatan Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang.

Bagaimanapun mereka enggan mengulas apabila ditanya mengenai kandungan rakaman tersebut yang menyentuh mengenai tawaran-tawaran tawaran tersebut.

"Itu (tawaran) apa yang awak fikir, apa yang awak tafsirkan.

"Mengapa anda tidak tanya beliau sendiri memandangkan beliau yang bangkitkan mengenai perkara ini," kata Cheah yang juga seorang peguam.

Katanya lagi perkara tersebut diserahkan kepada peguam untuk tindakan lanjut.

"Kami sudah berbincang dengan peguam, dan mereka akn selesaikan perkara ini," kata Chah.

Dalam sidang media itu juga Cheah menegaskan bahawa kehadiran beliau bersama Peter bukan mewakili PKR, sebaliknya atas kapasiti sebagai kenalan lama.

"Kami hadir dengan kehendak sendiri, bukan atas dorongan sesiapa dari parti," katanya.

Menjelaskan dengan lebih lanjut mengenai pertemuan tersebut, Cheah berkata Aminah menunjukkan hasrat untuk kembali menyertai PKR.

"Beliau juga nyatakan mungkin tidak akan teruskan untuk bertanding sebagai calon, dia tanya sama ada perlu atau tidak untuk teruskan.

"Dia jemput kita untuk beri pandangan, kita kongsi pandangan kita sahaja...kami bercerita sebagai kawan dalam keadaan bergurau," katanya yang mengakui mengenali Aminah dan keluarga sejak tahun 1999.

Ditanya sama ada beliau akan terus menjalinkan persahabatan bersama Aminah dan keluarganya selepas isu ini dibangkitkan, beliau berkata "Kami masih kawan, tapi perasaan saya kini bercampur."

Kenyataan PM tampar Kayveas - MalaysiaKini

May 26, 09 3:25pm

Perdana Menteri Datuk Seri Najib akan memeriksa status PPP dengan Pendaftar Pertubuhan (ROS) sebelum mengesahkan perlu merasmikan mesyuarat agung parti komponen Barisan Nasional itu.

najib tun razak 220509Kenyataan ini menjadi tamparan kedua kepada presidennya Datuk M Kayveas dalam masa tiga hari setelah penentang kuatnya Datuk T Murugiah juga diangkat presiden sah PPP dalam mesyuarat tergempar penyokongnya, Ahad lau.

Najib, juga pengerusi BN, berkata PPP menjemput beliau untuk majlis itu yang dijadual 7 Jun ini, lapor Bernama.

"Nantilah saya akan dapat laporan dari ROS... Mereka (PPP) telah menjemput saya tapi saya perlu periksa dengan ROS dahulu status PPP," katanya sewaktu diminta mengulas kehadiran beliau susulan krisis yang makin meruncing melanda parti tersebut.

Terdahulu perdana menteri menghadiri perhimpunan bersama warga kumpulan Felda di Dewan Perdana Felda, Kuala Lumpur.

Murugiah, yang juga timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri, sebelum ini dipecat sebagai anggota PPP atas tuduhan melanggar perlembagaan parti.

murugiah egm 240509 garlandSelain melantik beliau, mesyuarat tergempar di Putrajaya juga membatalkan pemecatan Murugiah dan sebaliknya memecat Kayveas sebagai presiden.

Kayveas pula masih menegaskan beliau masih presiden PPP yang sah, jawatan yang disandangnya sejak 1993, dan menyelar tindakan Murugiah mengadakan mesyuarat tergempar itu tanpa mendapatkan kelulusan Majlis Tertinggi PPP.



Akhbar hari ini melaporkan bahawa Murugiah menyerahkan keputusan mesyuarat itu kepada ROS di Putrajaya semalam.

Monday, May 25, 2009

Kayveas: Murugiah 'perlu periksa mental' - MalaysiaKini

May 25, 09 2:19pm

Presiden PPP Datuk M Kayveas menyifatkan Senator Datuk T Murugiah - yang mengisytiharkan dirinya juga presiden parti itu - sebagai "orang yang gila publisiti" dan "perlu diperiksa mental".

kayveas ppp pc 120308 lookWalaupun melemparkan perkataan-perkataan yang keras seperti itu, Bernama melaporkan, bekas ahli parlimen Taiping itu menganggap kemelut perebutan kuasa itu seperti "ribut di dalam cawan teh".

Sambil menegaskan beliau masih presiden sah PPP, Kayveas menambah:

"Perhimpunan yang berlaku itu tidak sah dan saya tidak mahu komen lagi tentang orang yang gila publisiti, tamak dan mengisytiharkan diri sendiri, dia telah dipecat daripada parti.

"Dia boleh buat apa yang dia mahu tapi kami masih menunggu rayuan dia (Murugiah) sehingga 30 Mei berhubung pemecatannya."

Kemelut politik PPP kelihatan semakin meruncing apabila satu perhimpunan tergempar diadakan di Putrajaya semalam yang didakwa dianggotai 1,760 perwakilan dari 778 cawangan parti itu.

murugiah egm 240509 celebrationSelain memilih Murugiah - juga timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) - sebagai presiden baru, mesyuarat itu juga membuat beberapa resolusi, antaranya, membatalkan pemecatan terhadapnya seminggu lalu dan turut memecat Kayveas daripada PPP.

Mengulas perhimpunan tersebut, Kayveas berkata pada asalnya ia hanya perjumpaan biasa sebelum Murugiah menjadikan perjumpaan itu sebagai perhimpunan tergempar PPP.

"Kurang daripada 10 peratus yang hadir semalam adalah ahli PPP, baju pun dipinjamkan, tak tahu dari mana (mereka yang hadir).

"Anda perlu pemilihan yang betul untuk mengundi bagi presiden parti, bukan setakat buat perhimpunan dan memanggilnya sebagai perhimpunan agung luar biasa," katanya seperti dilaporkan agensi berita itu.

Bekas timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) itu mencadangkan musuh politiknya itu menubuhkan sebuah parti baru dan mengangkat dirinya sebagai presiden parti tersebut.
daripada terus menimbulkan pelbagai masalah kepada parti itu.

"Saya cabar dia, kenapa kacau PPP, jika dia begitu bagus, buat satu parti lain untuk satukan orang India.

"Sebelum ini dia (Murugiah) jumpa ROS ((Pendaftar Pertubuhan), dia dah minta ROS batal parti ini, ROS tak layan dia, tiba-tiba dia dilantik sebagai presiden, itu sah?

kayveas ppp pc 120308 straight"Dia kena periksa mental dia di (hospital) Tanjung Rambutan," kata Kayveas selepas menghadiri perhimpunan agung tahunan PPP
Pahang di Kuantan hari ini.

Perhimpunan itu dirasmikan Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri Datuk Mohd Sharkar Shamsudin yang mewakili Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob.

Menurut Bernama lagi, Kayveas berkata PPP juga sedang mengenal pasti anggota-anggota yang hadir di perjumpaan tersebut dan akan diberikan surat tunjuk sebab.

Mengenai Perhimpunan Agung PPP ke-56, Kayveas berkata ia tetap akan berlangsung seperti yang dijadualkan pada 7 Jun depan, dan menurutnya, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak akan merasmikannya.

Aminah dedah bukti PKR sogok - MalaysiaKini

Wong Teck Chi | May 25, 09 11:01am

Calon bebas Aminah Abdullah mendakwa mempunyai bukti PKR cuba menyogoknya dengan jawatan penting jika beliau tidak bertanding dalam pilihanraya kecil Penanti, 31 Mei ini.

aminah abdullah penanti by election dvd proof of pakatan corruption 250509 04Dalam sidang medianya pagi ini, bekas ketua Wanita PKR Pulau Pinang mendakwa, dua wakil parti itu menemuinya pada 13 Mei lalu untuk menawarkan jawatan yang dipertua Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP).

Tambahnya, seorang ahli Majlis Pimpinan Tertinggi PKR dan pembantu seorang exco kerajaan negeri, daripada parti itu, menemuinya dengan mendapat restu penasihat parti Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menggunakan slogan "Ke Arah Keadilan Sebenar", Aminah bagaimanapun tidak menamakan dua pemimpin PKR tersebut.

Beliau juga mendakwa, jika berjaya menewaskan calon PKR Mansor Othman dalam pilihanraya DUN itu, beliau akan dibenarkan menyertai parti itu dan diberikan jawatan timbalan satu ketua menteri.

Mansor akan dilantik kepada jawatan nombor dua kerajaan itu bagi menggantikan Mohammad Fairus Khairuddin yang melepaskan jawatan tersebut dan ADUN Penanti bulan lalu.

Aminah, yang berlambangkan kunci, mendedahkan buktinya - dalam bentuk rakaman audio - kepada wartawan dalam sidang media di Penanti.

aminah abdullah penanti by election cd dvd vcd proof pc 250509 02Rakaman tiga jam itu kini sedang disalin oleh kumpulan wartawan yang membuat liputan tersebut.

Aminah juga berkata beliau akan membuat aduan polis hari ini berhubung perkara tersebut dan untuk mendapatkan perlindungan pihak berkuasa tersebut susulan pendedahannya itu.

Beliau akan membuat aduan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) esok mengenai isu tersebut, dengan mendedahkan nama dua wakil PKR dan foto rakaman pertemuan tersebut.

Pengarah Strategi PKR Tian Chua semalam menafikan parti itu cuba menyogok Aminah dan mencabar calon itu agar membuat aduan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan SPR.

Hari ini, Pengarah Pilihanraya PKR Saifuddin Nasution Ismail berkata parti itu akan menghantar segera surat peguamnya kepada Aminah agar menarik balik tuduhan tersebut dan meminta maaf.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...