Wednesday, June 4, 2008

Dua maut bas masuk gaung di Lebuh Raya Karak

03/06/2008 10:38pm

KUALA LUMPUR 3 Jun — Dua orang penumpang sebuah bas persiaran maut manakala 41 yang lain cedera termasuk 17 cedera parah apabila bas yang mereka naiki terbabas lalu terjunam ke dalam gaung sedalam sembilan meter di Km 22.5 Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak dekat sini petang tadi.

Pegawai Penjaga Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Baru Selayang Abd Wahab Ariffin berkata kedua-dua penumpang itu seorang lelaki dan seorang wanita mati di tempat kejadian yang berlaku pada kira-kira pukul 6 petang.

Beliau berkata wanita yang maut itu berasal dari Seremban dan lelaki tersebut yang juga rakyat tempatan belum diketahui maklumat mengenai dirinya.

Kedua-dua mereka mati akibat kecederaan teruk di kepala dan badan.

Katanya pelancong asing juga adalah antara penumpang yang cedera.

Bagaimanapun kewarganegaraan mereka belum dapat dipastikan. Abd Wahab berkata ketika kejadian, bas itu yang dalam perjalanan dari Genting Highlands ke ibu negara dipercayai dipandu laju dalam keadaan hujan lebat sebelum ia tiba-tiba hilang kawalan dan terjunam ke dalam gaung tesebut.

"Kejadian itu disaksikan oleh beberapa orang awam yang melalui lebuh raya itu serta Orang Asli dari sebuah perkampungan berhampiran.

"Mereka kemudian turun ke dalam gaung untuk menyelamatkan penumpang dengan memecahkan cermin bas sementara menunggu anggota bomba tiba 10 minit kemudian,” katanya kepada pemberita di tempat kejadian.

Beliau berkata 44 orang anggota bomba dari balai bomba Ampang Jaya, Jalan Hang Tuah, Wangsa Maju dan Selayang bertungkus-lumus selama dua jam bagi mengeluarkan mayat serta mangsa lain yang tersepit di dalam bas yang remuk itu menggunakan tali.

Katanya operasi mencari dan menyelamat itu turut dibantu oleh dua ekor anjing dari Unit Anjing Polis di Jalan Klang Lama di sini. "Mangsa terakhir berjaya dikeluarkan pada pukul 8 malam dan operasi menyelamat ditamatkan 15 minit kemudian ekoran cuaca yang gelap serta hujan lebat,” katanya.

Abd Wahab berkata mayat kedua-dua penumpang dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk bedah siasat manakala 17 mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Selayang, 17 mangsa ke HKL manakala tiga orang mangsa lagi ke Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) dengan menggunakan 10 buah ambulan.

— BERNAMA

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...