Zahidi minat jadi Ketua Pemuda
KANGAR 2 Jun - Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perlis, Datuk Zahidi Zainul Abidin menyatakan hasratnya untuk bertanding jawatan Ketua Pemuda UMNO pada pemilihan parti itu, Disember ini.
Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Padang Besar berkata, minatnya untuk bertanding jawatan itu mendapat sokongan penuh daripada Badan Perhubungan UMNO Perlis.
''Saya berhasrat mengukuhkan UMNO melalui sokongan dan penglibatan Pemuda terutama selepas menyaksikan beberapa negeri di utara tanah air dirampas parti pembangkang.
''Pada masa ini, saya melihat perlunya seorang pemimpin yang dapat menarik minat golongan muda daripada pelbagai kumpulan untuk menyokong wadah perjuangan yang dibawa oleh UMNO," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas perjumpaan bersama Jawatankuasa Badan Perhubungan UMNO Perlis di sini hari ini.
Sebelum ini, beberapa individu secara terbuka menyatakan kesediaan bertanding merebut jawatan Ketua Pemuda UMNO yang dikosongkan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein setelah memimpin sayap itu sejak sedekad lalu.
Mereka yang dijangka bertanding termasuk Ahli Parlimen Jerlun, Datuk Mukhriz Mahathir dan bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo.
Zahidi memberitahu, keputusannya untuk bertanding jawatan itu juga berikutan terhakisnya kepimpinan muda terutamanya di wilayah utara selepas Pilihan Raya Umum Ke-12 yang lalu.
''Pada hemat saya, pemimpin Pemuda perlu lebih berani bersuara dalam menangani pelbagai masalah akar umbi yang melibatkan golongan muda.
''Pandangan dan suara Pemuda perlu jelas dalam usaha membangunkan golongan muda di negara ini tanpa mengira sesuatu kaum sahaja," jelasnya.
Sebelum ini, Zahidi belum pernah bertanding bagi merebut jawatan tertinggi sayap kanan parti UMNO itu.
Utusan Malaysia
No comments:
Post a Comment