Tuesday, June 24, 2008

EZAM: TROJAN HORSE ATAU HULUBALANG BARU UMNO?

EZAM sudah sinonim dengan arus reformasi di akhir 90an. Bekas Ketua Angkatan Muda PKR ini kemudiannya memilih untuk berada di luar PKR atas sebab hilang kepercayaan dengan prinsip perjuangan PKR yang didakwa sudah menyimpang dari matlamat asal. Beliau memilih untuk `mengabdikan diri' dengan platform GERAK yang beliau terajui walaupun ada ura-ura beliau akan menjadi calon pada PRU12 yang lalu. Akhirnya 28 haribulan Mei 2008 yang `panas' dipilih untuk meledakkan lagi suhu politik negara dengan mengesahkan cakap-cakap beliau akan kembali ke dalam UMNO. Beliau sah memohon menjadi ahli UMNO dengan `mas kahwinnya' sebanyak RM100 seumur hidup.

Apabila saya memilih untuk menulis berkaitan Ezam, sahabat saya mempersoalkan apa pentingnya beliau kepada politik kebangsaan kita? Benar dia bukanlah negarawan yang tersohor. Malah jika diukur tahap sumbangan kepada negara dibandingkan dengan Tun Dr Mahathir, dia jauh ketinggalan. Namun pada saat ini mereka telah memilih untuk berada di laluan yang berbeza sama sekali. Seorang `menentang' Pak Lah, seorang lagi `menyokong' Pak Lah.

Ezam pada saya bukanlah penting sangat. Yang menjadikannya penting adalah persepsi dan spekulasi yang dicetuskan oleh `movement' Ezam mutakhir ini. Tanpa persepsi dan spekulasi, nasib politik Ezam di dalam UMNO (jika diterima masuk) mungkin senasib dengan beberapa bekas pemimpin PKR yang menyertai semula UMNO sebelum ini.

Bagi yang pernah mendengar kelantangan Ezam di pentas ceramah terutamanya dalam memperjuangkan keadilan dan bekas mentornya Datuk Seri Anwar Ibrahim, tentu mengingati bagaimana tajam dan bisanya perkataan dan ayat yang digunakan terutamanya bila menyentuh isu yang berkait rapat dengan UMNO – parti yang beliau junjung ketika ini. Ini juga yang sangat mendalam kesannya kepada beberapa pemimpin UMNO. Kecurigaan dan was-was dengan nawaitu Ezam tidak disembunyikan lagi.

"Saya tak nampak apa istimewanya kemasukan Ezam. Pada saya kemasukan biasalah. Tetapi dia (Ezam) yang tidak biasa, ada rekod. Kita kena teliti secara halus dan semasak-masaknya," kata Tan Sri Muhyiddin Yassin, Naib Presiden UMNO.

Datuk Seri Dr Rais Yatim pula berpendapat kemasukan semula bekas Ketua Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu menimbulkan rasa curiga kerana ia berlaku secara tiba-tiba tanpa dirundingkan terlebih dahulu dengan Jawatankuasa Pengurusan parti. ''Saya dapat tahu Jawatankuasa Pengurusan parti yang diketuai oleh Datuk Seri Najib Tun Razak serta dibantu oleh Naib Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak dibawa berunding terlebih dahulu, malah tidak dirujuk pun kepada Majlis Tertinggi (MT). Secara tiba-tiba sahaja satu pihak lagi begitu kuat mahu bawa masuk Ezam."

Siapa pula pihak yang dimaksudkan oleh DS Rais Yatim? Orang politik biasanya amat mudah `menangkap' insan yang beliau maksudkan. Samada ia adalah orang yang dimaksudkan oleh DS Rais Yatim, hanya beliau (DS Rais) yang tahu.
Lagi kata beliau ia sungguh berbeza dengan ahli-ahli Semangat 46 (S46) dulu kerana proses kemasukan ahli (ke UMNO) sahaja memakan masa sembilan bulan dan macam-macam aspek diteliti tetapi sekarang orang yang tempelak UMNO boleh diterima 'pada minggu depan'.

Khairy Jamaluddin, Naib Ketua Pemuda UMNO (KJ) melalui website beliau menjelaskan bahawa beliau tiada kaitan dengan hal permohonan kemasukan Ezam ke dalam UMNO. Kesian KJ!!! Mentang-mentanglah Senator Datuk Wan Farid Wan Salleh, Timbalan Menteri Dalam Negeri yang mengaturkan pertemuan Ezam dengan Pak Lah di bangunan Parlimen. Kata Khairy lagi, kalau benar Ezam itu hadiah kuda Trojan, beliaulah orang pertama yang akan membakar kuda tersebut. Kalau setakat hadiah sabun serbuk pencuci Trojan, biarkanlah KJ!.

Tan Sri Muhamad Muhd Taib, Ketua Penerangan UMNO pula menjelaskan bahawa kemasukan Ezam ke dalam UMNO akan melalui proses yang sepatutnya. Permohonan Ezam hanya akan diketahui dalam beberapa minggu lagi iaitu selepas MT UMNO bersidang.

Dalam pada komen-komen pemimpin UMNO itu, tiba-tiba muncul pula Senator Datuk Musa Sheikh Fadzil, Ketua Bahagian UMNO Bukit Mertajam dengan cadangan yang `hangat'. Hadapkan TS Muhyiddin dan DS Rais ke meja lembaga disiplin UMNO kerana kelancangan membicarakan isu Ezam yang dikira beliau `isu dalam kelambu UMNO' dan tidak sepatutnya dibincang secara terbuka.

Sebelum ini, Datuk Tengku Adnan Tengku Mansor, Setiausaha Agung UMNO sudah bersuara supaya Datuk Zaid Ibrahim (Menteri dilantik menjaga undang-undang), Datuk Mukhriz Mahathir (AP Jerlun) dan Datuk Tajuddin Abd Rahman (AP Pasir Salak) dihadapkan ke muka pengadilan UMNO.

Datuk Seri Nazri Aziz pula berkata `UMNO mengamalkan demokrasi'. Bererti apalah sangat nak mendakwa mereka sedangkan banyak lagi perkara yang lebih penting untuk diuruskan.

Panas memang panas. Itulah UMNO selepas PRU12. Hinggakan ahli akademik juga turut melontarkan pendapat. Mereka ini boleh juga dihadapkan ke muka pengadilan UMNO, itu pun kalau mereka ahli UMNO. Kalau tidak, mereka kira berlesenlah dalam memperkatakan tentang isu-isu semasa dalam UMNO. Sudahnya orang mula berpersepsi, ahli UMNO tidak boleh bersuara tentang isu UMNO tapi kalau bukan ahli UMNO tidak ada masalah. Entahlah kalau institusi dimana mereka bernaung juga bertindak mengeluarkan `show cause' dan menjalankan `domestic inquiry'.

Pensyarah Pembangunan Sosial Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Dr. Ahmad Atory Hussain berkata, penyertaan semula Ezam secara tidak langsung bakal mencetuskan konflik dalaman dalam Umno. Lebih menimbulkan keraguan ialah saluran yang digunakan Ezam untuk masuk semula menjadi ahli Umno. Tambahnya lagi, Ezam boleh dianggap sebagai aset kepada pihak tertentu untuk membantu mereka meraih undian kerana ramai lagi kawan-kawan dia dalam Umno. Masalahnya dia (Ezam) pernah menjadi orang kuat PKR yang cukup lantang mengkritik Umno... jika ahli biasa PKR yang nak masuk Umno, saya tak fikir akan wujudnya masalah," jelasnya.

Sementara itu pula, Pensyarah Pusat Pengajian Sejarah, Politik dan Strategi, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Mohd. Agus Yusoff berpendapat kesan kemasukan semula Ezam ke dalam Umno akan dapat dilihat jika beliau boleh membantu untuk memulihkan Umno dari dalam. Cabaran untuk Ezam ialah jika dia tidak berjaya membantu bawa perubahan dalam Umno, dia akan jadi bahan ketawa semua orang sama ada PKR mahupun ahli Umno sendiri," jelasnya.

Reaksi berbeza pula diberikan oleh Pengarah Institut Kajian Etnik UKM, Prof. Datuk Dr. Shamsul Amri Baharuddin yang berpendapat isu Ezam kembali menyertai Umno adalah perkara biasa. Beliau menyifatkan kepulangan Ezam seolah-olah menggambarkan keadaan politik Malaysia yang boleh diibaratkan seperti "monyet yang suka lompat-lompat." Hari ini dia suka... dia masuk, esok dia dah tak suka dia ambil keputusan keluar parti sesuka hati. Tiada siapa boleh halang.

Retreat MT UMNO di Shah Alam selama 2 hari pada minggu ini (minggu pertama Jun 2008) mungkin juga akan membincangkan isu yang dikaitkan dengan `hadiah kuda trojan'. Adakah MT UMNO bersetuju menerima Ezam dan rakan-rakan dengan mudah atau melalui satu proses yang lebih panjang sepertimana kemasukan ahli Semangat 46 seperti dakwa DS Rais Yatim?

Seperti kata Ezam, saya tidak rugi apa-apa (jika tidak diterima masuk ke dalam UMNO), terpulanglah kepada MT UMNO. Mesej yang beliau berikan membawa erti yang cukup mendalam jika kita memanjangkan lagi persepsi dan melahirkan spekulasi yang baru.

Saya berpendapat bahawa tindakan mengheboh-hebohkan kemasukan Ezam & Friends ke dalam UMNO kemudian `diiring' oleh Timbalan Menteri dari Stesen Sentral KL hingga disambut bagai VIP a.k.a hulubalang yang baru kembali dari medan perang dan diberi ruang pertemuan empat mata dengan Perdana Menteri di bangunan Parlimen (nasib baik tiada paluan kompang dan bungga manggar) merupakan satu tindakan yang terlalu advanced. Hinggakan beberapa pemimpin atasan UMNO berasa `kecil hati dan terpinggir' kerana ia tidak pun dibincangkan dengan mereka. Ia diibaratkan satu pertemuan a.k.a permohonan kemasukan UMNO yang sudah ada `aturcara' dan hanya `mereka' yang tertentu sahaja mempunyai akses terhadap `movement' pada hari tersebut. Datuk Seri Hishamuddin, Ketua Pemuda UMNO khabarnya hanya kebetulan berada dilokasi dan tidak melibatkan diri dalam `mengiring' Ezam bertemu PM.

Apakah ada pihak yang merasakan dengan berjayanya mengajak masuk bekas nama besar dari parti lawan UMNO menunjukkan mereka lebih gah dari pemimpin atasan yang ada? Adakah tindakan menghebohkan permohonan kemasukan Ezam ke dalam UMNO sebagai jawapan balas kepada spekulasi akan berlakunya `lompatan' ahli Parlimen BN ke dalam Pakatan Rakyat seperti dakwa DS Anwar?

Yang pasti secara tidak langsung, Ezam telah membuatkan UMNO `heboh dan kecoh' dengan permohonan beliau. Kesannya bukan UMNO yang dilihat hebat (kerana berjaya memancing Ezam ke dalam UMNO) tapi Ezam yang lebih hebat (kerana membuatkan UMNO `serba salah' samada mahu menerima `tawaran' Ezam menjadi ahli UMNO atau sebaliknya.)
Insan bernama Mohamad Ezam Mohd Nor telah berjaya memanjangkan lagi persepsi dan melahirkan spekulasi baru politik di dalam UMNO.

Adakah beliau (Ezam) benar-benar `hadiah kuda trojan' atau akan menjadi hulubalang UMNO? Seperti kata Prof. Datuk Dr. Shamsul Amri Baharuddin `rasanya tak perlu kita meneka kesan atau perubahan yang mungkin terjadi bila Ezam masuk Umno. Lebih baik tunggu dan lihat sahaja kerana apa saja kemungkinan boleh berlaku dalam politik'.

laman marhaen

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...