24/06/2008 7:32pm
KUALA LUMPUR 24 Jun – Kerajaan tidak menolak kemungkinan terpaksa membenarkan kenaikan harga beras Super Tempatan 15 peratus hancur (ST15) sebagaimana diminta pemborong dalam masa terdekat.
Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mustapa Mohamed berkata, ia bertujuan mengatasi jurang harga beras tersebut dengan beras jenis Super Spesial Tempatan 10 peratus hancur (SST10) yang terlalu tinggi.
Beliau bagaimanapun menegaskan, perkara itu masih dalam rundingan dengan pihak pemborong beras.
``Ia antara cadangan yang dikemukakan pemborong dalam rundingan kedua-dua pihak sebelum ini kerana mereka kurang berminat menjual beras ST15,” katanya.
Beliau bercakap pada sidang akhbar selepas merasmikan Seminar Usahawan Industri Asas Tani di sini hari ini.
Katanya, jurang harga yang terlalu tinggi menyebabkan bekalan beras ST15 mengalami kekurangan sehingga mencetuskan kerisauan rakyat.
``Terdapat pemborong merungut mereka jual beras 10 peratus hancur tidak untung dan sebab itu kita tengah berunding untuk melihat cara terbaik bagi mengatasi masalah itu,” katanya.
Harga semasa bagi sekilogram beras jenis ST15 yang merupakan barang kawalan ialah RM1.80 manakala beras 10 peratus hancur pula RM2.70 sekilogram.
Katanya, bekalan beras ST15 yang banyak dibeli golongan berpendapatan rendah kini berkurangan memandangkan permintaannya meningkat daripada 25 peratus kepada 50 peratus sejak akhir-akhir ini.
Mengenai bekalan ayam pula, Mustapa berkata, kerajaan mungkin mengimport ayam proses sekiranya harga ayam terus melambung.
Katanya, buat masa ini, kerajaan hanya mengimport bahagian daging ayam untuk memenuhi permintaan.
Kerajaan, menurutnya, mengimport kira-kira 20,000 metrik tan bahagian daging ayam setahun untuk tujuan itu.
``Kita perlu menstabilkan harga tempatan tetapi sekarang kita sedang membuat pemantauan mengenai harga ayam dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna,” katanya.
Bagaimanapun kata beliau, sekiranya pengimportan ayam proses terpaksa dilakukan, ia akan tetap mengambil kira kepentingan pengusaha ayam tempatan. - Utusan
No comments:
Post a Comment