INNSBRUCK, Austria – Sepanyol menjadi pasukan keempat layak ke suku akhir Kejohanan Bolasepak Eropah (Euro 2008) selepas menewaskan Sweden 2-1 pada perlawanan Kumpulan D di Stadium Tivoli Neu, semalam.
Bagaimanapun Sepanyol terpaksa menunggu hingga ke masa kecederaan untuk memperoleh gol kemenangan yang dijaringkan David Villa pada minit ke-92.
Kemenangan itu membolehkan Sepanyol menyertai Portugal, Croatia dan Belanda layak ke suku akhir lebih awal walaupun keempat-empat pasukan itu masih ada satu perlawanan peringkat kumpulan yang perlu dilalui lagi selepas ini.
Bagaimanapun pada babak pertama permainan, Sweden dan Sepanyol terikat 1-1 selepas bersaing hebat dan saling bertukar serangan.
Sepanyol lebih dulu membuka jaringan menerusi Fernando Torres yang menampan hantaran lintang Villa dari dalam kotak penalti pada minit ke-15.
Namun, selepas gol itu menyaksikan penguasaan bertukar menjadi milik Sweden yang mengatur gerakan demi gerakan untuk mencari gol penyamaan.
Selepas komited mengasak, usaha mereka berhasil pada minit ke-34 apabila hantaran jauh Sergio Ramos tepat kepada Zlatan Ibrahimovic yang menunggu dalam kotak penalti.
Penyerang kelab Inter Milan itu bijak mengawal bola sebelum melepaskan sepakan rendah menewaskan dua pertahanan Sepanyol dan penjaga golnya sekali, Iker Casillas.
Babak kedua corak permainan tidak serancak babak pertama tetapi Sepanyol lebih menunjukkan keazaman tinggi dengan menguasai sebahagian besar permainan.
Begitu pun ketika perlawanan kelihatan seakan berkesudahan dengan seri, Villa muncul wira dengan menjaringkan gol kemenangan.
Gol berpunca daripada satu hantaran jauh tepat kepada Villa yang menunggu dalam kotak penalti sebelum bertindak mengelecek seorang pemain pertahanan Sweden sebelum meledakkan sepakan yang mengelirukan penjaga gol lawan.
No comments:
Post a Comment