KUALA LUMPUR 11 Jun - Kerajaan terpaksa mengambil langkah tidak popular dengan menaikkan harga petrol sehingga 40 peratus demi memastikan kehidupan rakyat tidak terjejas pada masa akan datang.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Shahrir Abdul Samad berkata, semua pihak harus sedar dalam fenomena kenaikan harga minyak dunia yang kini hampir mencecah AS$140 setong, bebanan kewangan negara turut bertambah.
Justeru, katanya, kerajaan terpaksa menyeimbangkan antara pemberian subsidi dengan belanja pembangunan yang lain termasuk perbelanjaan jaminan makanan bagi memastikan rakyat dapat hidup dengan selesa.
''Apa yang berlaku ini, seluruh dunia turut menerima kesan termasuk Malaysia. Kita bukanlah sebuah negara yang kaya, jadi mahu tidak mahu kita perlu berhemah dalam menguruskan kewangan kita.
''Oleh itu, kerajaan terpaksa juga menaikkan harga petrol sehingga 78 sen dan harga diesel RM1. Ini bukannya satu keputusan yang popular tetapi kita terpaksa juga melakukannya kerana kita merupakan kerajaan yang bertanggungjawab,'' kata Shahrir.
Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu rancangan Bersemuka Dengan Media terbitan RTM malam tadi membincangkan tajuk 'Penstrukturan Semula Subsidi Minyak'.
Selain Shahrir, rancangan tersebut turut menjemput Ketua Pemuda Pas Pusat, Salahuddin Ayub yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian.
Menurut Shahrir, wang hasil Petronas yang digunakan oleh kerajaan bukan hanya setakat memberi subsidi kepada rakyat tetapi ia turut dibelanjakan dalam sektor lain seperti pendidikan dan kebajikan.
Menurutnya, adalah tidak adil bagi kerajaan membelanjakan wang tersebut untuk subsidi semata-mata kerana masih terdapat golongan yang memerlukannya selain pengguna kenderaan.
Sementara itu, Shahrir menyelar kenyataan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mendakwa boleh menurunkan harga minyak.
Katanya, semasa menjadi Menteri Kewangan dulu Anwar sanggup menerima dasar Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) termasuk menghapuskan subsidi minyak.
''Bagaimana dia hendak menurunkan harga minyak sedangkan ketika menjadi Menteri Kewangan, dia sanggup menerima dasar IMF yang jika diterima harga minyak akan mengikut harga pasaran,'' katanya.
utusan online
No comments:
Post a Comment