BERNE, Switzerland – Selepas membenam juara dunia, Itali 3-0 pada aksi pembukaan, Belanda cukup bersemangat untuk menjadikan naib juara dunia, Perancis pula sebagai mangsa kedua dalam perlawanan kedua Kumpulan C, esok.
Anak-anak buah Marco van Basten mempamerkan aksi menakjubkan ketika mencatat kemenangan pertama ke atas Itali dalam tempoh 30 tahun, Selasa lalu sedangkan Perancis beraksi hambar ketika seri 0-0 dengan Romania pada hari yang sama.
Pengurus Perancis, Raymond Domenech ketika ini hanya mampu berdoa penjaring terbanyak mereka, Thierry Henry yang terlepas pertemuan dengan Romania kerana kecederaan dapat kembali beraksi untuk berdepan pasukan Oranje.
Penyerang Barcelona itu dilihat berada di padang selama 45 minit dalam sesi latihan bersama kelab tempatan, Chatel-Saint-Denis semalam, begitu juga kapten Perancis, Patrick Vieira yang turut terlepas perlawanan sulung kerana kecederaan paha.
Kedua-dua pemain merupakan tonggak penting yang mampu membawa perubahan buat Perancis apabila pasukan itu turun dalam perlawanan kedua di Berne.
Perancis, juara Euro 2000 tidak punya pilihan lain, kecuali menang jika tidak mahu pulang awal kerana perlawanan terakhir mereka juga tidak mudah, berdepan Itali.
Belanda, sebaliknya turun dengan penuh keyakinan selepas melakar kemenangan terhebat hasil jaringan Ruud van Nistelrooy, Wesley Sneijder dan Giovannni van Bronckhorst.
Ia bukan saja kemenangan pertama Belanda ke atas Itali dalam tempoh 30 tahun, malah menjadi hadiah hari jadi buat pemain tengah Real Madrid, Sneijder, yang genap 24 tahun, Isnin lalu.
“Menumpaskan Itali adalah keputusan yang baik tetapi kami tiada masa untuk meraikannya kerana sasaran kami adalah layak ke perlawanan akhir. Jadi kami kena sentiasa bertenang.
“Tumpuan sekarang adalah berdepan Perancis dan kami sudah bersedia. Andai kalah pertemuan ini, kami harus kembali di mana kami bermula,’’ kata Van Basten.
Pemain pertahanan Blackburn Rovers, Andre Ooijer pula menambah, Belanda akan bermula dengan permainan pantas seperti yang dilakukan ke atas Itali apabila bertemu Perancis.
Van Nistelrooy, yang menyifatkan kemenangan ke atas Itali sebagai ‘detik terindah dalam kariernya’ menegaskan, fokusnya sudah lama beralih kepada Perancis.
Bintang penyerang Real Madrid itu bakal berdepan pertahanan kental Perancis, William Gallas dalam usaha untuk mencari gol.
“Kami harus berwaspada dengan Nistelrooy sama ada di dalam atau di luar kotak penalti kerana dia selalu berjaya melepasi perangkap ofsaid,’’ kata Gallas.
Utusan Online
No comments:
Post a Comment