Monday, June 23, 2008

Nik Aziz pelawa SAPP sertai Pakatan Rakyat



KOTA BHARU, 22 Jun (Hrkh) - Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat, mengajak Parti Maju Sabah (SAPP) menyertai Pakatan Rakyat, sekiranya parti itu kecewa dalam pakatan Barisan Nasional (BN) yang telah disertainya sekian lama.

Tuan Guru berkata, Pakatan bersedia memberi laluan kepada parti itu untuk membuka lembaran baru dalam sejarah politik negara sekiranya SAPP berminat.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan tapak projek Bandar Stelit Pasir Tumbuh, Khamis lalu apabila parti itu memperlihatkan rasa kecewa terhadap kepimpinan Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi selaku Presiden BN.

Menurutnya, tindakan SAPP itu jelas menunjukkan sikap orang yang kecewa, untuk itu beliau diseru menyertai Pakatan Rakyat.

“Memang kami belum mengenali secara keseluruhannya parti itu, namun ia boleh berbincang dan dengan cara ini sudah mula ada titik pertemuan antara Pakatan Rakyat dan SAPP yang jelas begitu kecewa dalam pakatannya dengan BN selama ini.

“SAPP sebenarnya sudah melalui jalan pembangkang, ini memberi gambaran yang baik untuk menjalinkan pakatan yang baru,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita sebagai mengulas adakah usaha untuk mengajak parti itu menyertai Pakatan selepas parti itu mengumumkan rasa hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Abdullah.

Ketika ditanya adakah PAS bersedia menyokong usul tersebut sekiranya dibentangkan di Parlimen, beliau memberitahu perkara itu akan berlaku.

Sambungnya, ini kerana usaha untuk menyingkir Perdana Menteri itu bukan atas peribadi, sebaliknya atas dasar serta ketidakupayaannya mentadbir negara.

Jumaat lalu, Presiden parti itu, Yong Teck Lee, mengisytiharkan partinya hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Abdullah sebagai Perdana Menteri dan Presiden BN.

Ketika mengumumkan perkara itu, Yong dan dua Anggota Parlimennya, Dato’ Eric Majimbun (Sepanggar) dan Dato’ Dr Chua Soon Bui (Tawau) akan menyokong usul tidak percaya di Dewan Rakyat yang bakal bersidang Isnin ini.

“SAPP sudah hilang kepercayaan terhadap Perdana Menteri, peruntukan undi tidak percaya ada dalam Perlembagaan, dan menjadi sebahagian proses demokrasi di negara ini,” ujarnya dalam sidang media itu.

Tuan Guru sebelum itu merasmikan tapak projek Bandar Stalet Pasir Tumbuh yang bernilai RM100juta di atas stanah seluas 20 ekar.

http://www.harakahdaily.net

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...