CHERAS: Keghairahan sepasang kekasih memadu asmara sambil melakukan aksi ‘ringan-ringan’ di tangga pangsapuri di sini, akhirnya mengundang padah selepas mereka menjadi mangsa peras ugut beberapa lelaki yang menyamar penguat kuasa Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi).
Difahamkan, suspek sebelum itu memasang perangkap dengan sengaja mengintai mangsa dan pasangan lain yang khusyuk melakukan perbuatan terkutuk di kawasan tangga sunyi di pangsapuri Taman Bukit Segar, di sini, sebagai modal untuk mengugut mangsa.
Mangsa biasanya tersepit apabila pegawai penguat kuasa palsu itu berpura-pura mahu mengambil tindakan undang-undang terhadap pasangan terbabit sebelum dipaksa membayar wang bagi ‘menebus’ dosa.
Seorang lelaki yang hanya ingin dikenali sebagai Mus, 26, berkata dia turut menjadi mangsa kumpulan lelaki terbabit ketika melakukan asmara dengan teman wanitanya yang belajar di sebuah kolej jururawat di kawasan berhampiran.
|
Dia mendakwa tiba-tiba didatangi dua lelaki berumur awal 30-an dan memperkenalkan diri sebagai pegawai penguat kuasa Jawi tetapi enggan menunjukkan kad kuasa.
“Kami cuba melarikan diri tetapi gagal selepas dikepung mereka,” katanya ketika ditemui, lewat pagi semalam.
Beberapa minit kemudian, Mus berkata dia dan teman wanita dibawa ke sebuah kedai makan berhampiran dan ditawarkan cara penyelesaian bagi mengelakkan mereka ditahan.
“Kami diminta menyerahkan barangan berharga atau membayar sejumlah wang untuk selesaikan masalah itu. Mereka mengugut akan mendakwa kami di Mahkamah Syariah jika enggan akur permintaan itu,” katanya.
Pasangan yang masih terkejut dan takut itu akhirnya akur dan menyerahkan semua barangan termasuk wang tunai berjumlah RM200 dan dua telefon bimbit kepada pemuda terbabit.
Harian Metro
No comments:
Post a Comment