Friday, June 27, 2008

Syabas Bincang Cadangan Kenaikan Tarif Air Di Lembah Klang

27 Jun, 2008 16:26 PM

SHAH ALAM, 27 Jun (Bernama) -- Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) sedang berbincang untuk mengemukakan cadangan kenaikan tarif air di Lembah Klang berikutan peningkatan kos yang dihadapi oleh syarikat pembekal air itu.

Pengerusi Eksekutif Syabas Tan Sri Rozali Ismail berkata syarikat itu perlu meneliti aspek seperti kenaikan kos barangan dan perkhidmatan berikutan kenaikan harga petrol dan diesel baru-baru ini dan impaknya terhadap harga air, sebelum menghantar cadangan itu kepada Kementerian Air, Tenaga dan Komunikasi.

"Kita sedang berbincang dengan semua pihak berkaitan mengenai impak semua kenaikan kos berkaitan seperti bekalan elektrik, kimia dan peralatan, dan sekarang kita juga sedang melihat kepada gaji (kakitangan) dan sebagainya.

"Sekarang ini adalah satu tempoh yang sukar," katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian mesyuarat agung kali kedua Persatuan Air Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya (SWAN) oleh Timbalan Menteri Air, Tenaga dan Komunikasi Datuk Joseph Salang Gandum di sini Ahad.

Ditanya mengenai kadar kenaikan yang dicadangkan itu, Rozali berkata :"Ini saya tak dapat sahkan kerana kami masih berbincang. Belum tahu lagi."

Sebelum ini, akhbar melaporkan pengguna air di Lembah Klang dijangka berhadapan dengan kenaikan sebanyak 37 peratus iaitu RM1.90 bagi setiap meter padu mulai tahun depan.

Pada masa ini, pengguna membayar 57 sen setiap meter padu untuk 20 meter padu pertama, RM1.03 setiap meter padu bagi 20 meter padu berikutnya dan RM2 bagi penggunaan melebihi 35 meter padu.

Tarif baru itu dijangka berkuatkuasa 1 Jan tahun depan iaitu kali kedua dalam tempoh hampir tiga tahun lepas, selepas tarif air dinaikkan 15 peratus bagi pengguna di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya berkuatkuasa 1 Nov 2006.

Rozali berkata beliau yakin pengguna dapat menerima kenaikan tarif air kerana semasa Syabas mengambil alih pengurusan air di Selangor lima tahun lepas, industri air di negeri ketika itu berada dalam keadaan teruk.

"Kehilangan air tanpa hasil (NRW) hampir 45 peratus, kami buat pinjaman untuk bayar bil tertunggak RM4.5 bilion, orang ramai curi air. Sepanjang 6,000 km paip asbestos perlu diganti, paip pecah di sana sini.

Kami telah mengeluarkan banyak wang untuk membaiki keadaan, dan saya yakin pengguna faham.

"Dan sekarang, selepas lima tahun, kadar elektrik naik, kos bahan kimia naik dan semuanya naik. Kami harus imbangkan antara masalah yang kami hadapi, kenaikan kos 30-40 peratus dan harga yang akan dikenakan kepada pengguna," katanya.

-- BERNAMA

cardozas says:-


minyak dah naik, barangan semua naik, letrik pun dengar cerita nak naik ... ni air pun nak naik.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...