Friday, June 27, 2008

Najib Belum Cadang Bertanding Jawatan Presiden

27 Jun, 2008 02:20 AM

KUALA LUMPUR, 27 Jun (Bernama) -- Datuk Seri Najib Tun Razak hari Khamis berkata beliau belum membuat sebarang keputusan sama ada akan bertanding jawatan Presiden Umno pada pemilihan parti Disember ini.

Timbalan Perdana Menteri itu berkata belum tiba masa untuk beliau mengumumkan mengenai perkara itu.

"Saya akan buat ketetapan apabila sampai masanya, ada masa lagi," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat Dewan Tertinggi Barisan Nasional (BN) di sini Khamis malam.

Mengikut peraturan Umno, calon jawatan Presiden perlu mendapat pencalonan sekurang-kurangnya 30 peratus daripada keseluruhan bahagian Umno di seluruh negara.

Sementara itu, Presiden Umno Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata parti itu membenarkan permohonan untuk keahlian parti dibuat melalui dalam talian (online) manakala pembayaran yuran juga boleh dibuat melalui sistem khidmat pesanan ringkas (SMS).

Katanya keputusan itu dibuat pada mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Umno yang berlangsung lebih empat setengah jam di ibu pejabat parti itu di Menara Dato' Onn, Pusat Dagangan Dubnia Putra (PWTC) di sini.

Katanya keputusan itu adalah berdasarkan hasil laporan yang dikemukakan selepas Retreat MT Umno di Shah Alam 5 Jun lepas.

Bagaimanapun, katanya, tarikh pelaksanaan tersebut akan ditentukan kemudian.

Menjawab soalan, Abdullah berkata pembayaran yuran melalui SMS adalah sama seperti potongan bayaran yang dibuat apabila ada kempen seperti derma untuk sesuatu tujuan yang juga dibuat melalui kiriman SMS.

Beliau, yang juga Perdana Menteri, berkata MT juga memutuskan untuk membenarkan majlis-majlis seperti kenduri, berbuka puasa serta rumah terbuka diadakan semasa pemilihan parti itu.

Katanya ini kerana bulan puasa dan Hari Raya Aidilfitri akan berlangsung dalam jangka masa pemilihan Umno.

"Jadi MT berpendapat kita tidak mahu membuat keputusan-keputusan seperti dulu... tak boleh ada kenduri... tak boleh ada majlis itu dan majlis ini. Semangat Ramadhan perlulah dirai," katanya.

Abdullah berkata MT juga memutuskan bahawa mesyuarat peringkat Umno bahagian Arau ditunda sehingga selepas pilihan raya kecil bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sanglang.

Katanya Pengerusi Badan Perhubungan Umno Perlis Datuk Seri Shahidan Kassim akan memikul tanggungjawab di peringkat akar umbi ketika pilihan raya kecil DUN Sanglang nanti.

Abdullah berkata Najib sebagai Timbalan Presiden parti pula akan menjadi penyelaras ketika pilihanraya itu nanti.

"Ini prosedur... tiap-tiap kali pilihan raya kecil, siapa jadi pengerusi (Badan perhubungan) akan menjadi penggerak pada peringkat akar umbi di tempat berlakunya pilihan raya itu. Yang jadi penyelaras membantu seperti dari segi mobilasi siapa membuat kempen (dan sebagainya)," katanya.

Ditanya sama ada peranan yang diberi kepada Shahidan akan mencetuskan apa-apa kontroversi, Abdullah berkata: "Saya tidak fikir wujud masalah."

Pada 18 Jun lepas, Mahkamah Pilihan Raya di Perlis mengisytiharkan kerusi DUN Sanglang yang dimenangi oleh calon BN Abdullah Hassan pada plihan raya umum 8 Mac lalu dikosongkan.

Keputusan itu dibuat Zainal Adzam selepas menolak petisyen calon PAS, Hashim Jasin yang merupakan Pesuruhjaya PAS Perlis untuk mendapatkan pengisytiharan bahawa beliau adalah calon yang menang di DUN Sanglang.

Pada pilihan raya umum itu, Abdullah menang dengan majoriti 149 undi setelah memperoleh 3,384 undi manakala Hashim pula memperoleh 3,235 undi.

-- BERNAMA

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...