Sunday, July 6, 2008

2000 orang di Stadium MBPJ setakat ini; Sekatan Jalanraya Di Merata Tempat; Brickfields Dilanda Wabak Merah

Petikan: Suara Keadilan Online


Pada pagi ini sahaja, lebih 2000 orang berhimpun di Stadium MBPJ Kelana untuk Protes Sejuta Rakyat Membantah Kenaikan Minyak. Keadaan tenang dan aman tanpa sebarang gangguan. Pihak polis pada pagi ini memberi kerjasama yang baik kepada penganjur.

Desas-desus mengatakan askar akan dikerah juga tidak terbukti setakat ini.

Protes Sejuta Rakyat anjuran Gabungan MemPROTES Kenaikan Harga Minyak (Protes) menggemblengkan segenap warga Malaysia yang prihatin dan terkesan dengan tindakan kerajaan BN menaikkan harga minyak. Ia diadakan bermula jam 10 pagi hingga 12 malam dan menampilkan pelbagai aktiviti seperti taklimat umum, persembahan muzik dan seni.

Protes adalah hasil kerjasama badan bukan kerajaan (NGO), gerakan sivil, KeADILan, Pas dan DAP. Protes kehadapan dalam mengadakan siri-siri perhimpunan aman membantah kenaikan minyak sejak 2006. Protes komited kepada Artikel 10 Perlembagaan yang menjamin kebebasan bersuara dan berhimpun di tempat awam. Protes menolak pendekatan ganas.

Kuala Lumpur dan Lebuhraya Persekutuan pagi ini lengang tidak seperti hari Ahad yang biasa di minggu-minggu lain. Jalanraya kosong dari kereta persendirian mahupun motorsikal.

Polis mengadakan sekatan jalanraya di merata-tempat, dipercayai menanti kehadiran Sejuta Rakyat yang akan turun berhimpun secara aman di Stadium MBPJ, Kelana Jaya hari ini. Lalulintas menghadapi sedikit kesulitan di Gerbang Kuala Lumpur-Petaling Jaya, Damansara menuju Kelana Jaya, dan Kelana Jaya menuju Damansara.

Selain dari sekatan jalanraya, van-van hitam bercermin gelap kelihatan berbondong-bondong bergerak menuju kearah Petaling Jaya dari Kuala Lumpur. Balai Polis Brickfields juga kelihatan sibuk dengan kehadiran trak dan kenderaan polis yang lebih banyak dari kebiasaan.

Di Brickfields pula, keadaan ceria dengan wabak merah kelihatan dimana-mana. Orang-ramai berbaju merah terang dan merah gelap, Melayu, Cina, India, orang tua dan muda kelihatan di kedai-kedai makan dan gerai nasi lemak.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...