Sunday, July 6, 2008

Publisiti Murahan Boleh Menjahanamkan MIC, Kata Samy Vellu

06 Julai, 2008 12:33 PM

KUALA LUMPUR, 6 Julai (Bernama) -- Presiden MIC Datuk Seri S.Samy Vellu hari ini membidas sikap pemimpin tertentu dalam sayap pergerakan Pemuda parti itu yang hanya berminat untuk mencapai cita-cita politik melalui publisiti murahan.

Katanya pemimpin sedemikian enggan menyelesaikan masalah membabitkan parti dan masyarakat melalui meja perundingan tetapi memilih untuk mendapat perhatian ramai melalui publisiti murahan yang akan merosak dan melemahkan parti.

"Mereka hanya mahukan publisiti untuk mencapai impian politik," katanya semasa merasmikan perhimpunan agung tahunan Pergerakan Wanita, Pemuda, Putera dan Puteri MIC di sini, Ahad.

Tanpa menamakan pemimpin terbabit, Samy Vellu berkata mereka gagal untuk memahami matlamat parti yang mengarahkan kesemua pemimpin Pemuda yang mencapai umur 41 untuk mengosongkan kerusi masing-masing.

"Kita mahu memberi peluang kepada generasi muda yang lebih layak dan berkemampuan dalam sayap Pemuda di peringkat negeri dan bahagian supaya mereka dapat menyumbang kepada kejayaan parti pada keseluruhannya, " katanya.

Samy Vellu berkata MIC berpendapat timbul keperluan untuk menyuntik semangat baru di semua peringkat dalam parti itu selepas pilihan raya umum 8 Mac lalu.

Dengan peraturan had umur 41 tahun itu, Ketua Pemuda MIC S.A.Vigneswaran, 43, bertindak keluar parti kerana membantah peraturan itu dan dituruti oleh Ketua Pemuda MIC Kedah R.Nantha Kumar bersama tiga anggota jawatankuasa walaupun sebahagian daripada mereka masih dibawah umur 41 tahun.

Timbalan Ketua Pemuda MIC Pulau Pinang dan Exco Pemuda MIC Pusat Vincent David turut meletakkan jawatan.

Samy Vellu berkata niat murni parti disalah tafsir oleh sesetengah daripada mereka sehingga enggan berbincang dengan pimpinan parti tetapi bertindak menentang parti.

Katanya peraturan had umur itu tidak bermakna karier politik seseorang itu akan berakhir kerana mereka akan diberi peluang untuk memimpin di peringkat bahagian atau cawangan dengan bertanding dalam pemilihan parti tahun depan.

"Saya ingin menegaskan di sini bahawa MIC bukan sebuah parti untuk kemegahan peribadi kerana ia adalah wadah perjuangan bagi membela nasib kaum India di negara ini dan jangan gunakannya untuk kepentingan peribadi," katanya.

Di KULIM, Ketua Penerangan MIC Datuk M.Saravanan berkata isu perletakan jawatan tunggak Pemuda MIC di Kedah, Pulau Pinang dan Perak tidak akan menjejaskan perpaduan parti keseluruhannya.

MIC sedang dalam proses penjenamaan semula dan memerlukan pemimpin yang lebih radikal dan optimis untuk membela masyarakat India, katanya kepada pemberita selepas merasmikan "Majlis Jasamu Dikenang" anjuran Pertubuhan-Pertubuhan NGO Kedah bersama Persatuan Karate Negeri Kedah di sini, malam tadi.

"Wujudnya isu itu memudahkan pucuk pimpinan parti memilih pemimpin pelapis sebenar memandangkan politik MIC bukanlah politik demonstrasi jalanan tetapi untuk meletakkannya sebagai wadah pembangunan ekonomi dan meningkatkan taraf hidup masyarakat India," katanya.

Sebelum itu, dalam ucapannya, Setiausaha MIC Kedah S.Anantha berkata bahawa MIC Kedah menyokong jika Saravanan menawarkan diri bertanding mana-mana jawatan penting dalam hiraki MIC Pusat.

"Saravanan adalah adalah bintang baru yang perlu diketengahkan sebagai salah seorang pemimpin pelapis MIC kerana beliau mempunyai masa depan yang cerah," katanya.

-- BERNAMA

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...