Sunday, July 20, 2008

Liow Tidak Akan Pertahankan Jawatan Ketua Pemuda MCA

20 Julai, 2008 22:23 PM

MUAR, 20 Julai (Bernama) -- Ketua Pemuda MCA Datuk Liow Tiong Lai hari ini mengumumkan beliau tidak akan mempertahankan jawatannya pada pemilihan parti Oktober ini.

Sebaliknya, Liow berkata beliau akan bertanding untuk jawatan yang lebih tinggi tetapi belum memutuskan jawatan yang akan ditandinginya.

"Tunggulah, saya akan umumkan jawatan yang akan saya tandingi apabila tiba masanya kelak," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sijil dan melancarkan sukarelawan MINDA Johor di sini hari Ahad.

Liow berkata hasrat beliau untuk bertanding di peringkat yang lebih tinggi mendapat sokongan daripada anggota parti.

Mengenai program yang dilancarkan itu, Liow yang juga Menteri Kesihatan berkata kementerian akan bekerjasama dengan Kementerian Pembangunan Keluarga, Wanita dan Masyarakat untuk mendirikan lebih banyak pusat pemulihan pesakit mental di negara ini.

Beliau berkata pada masa ini terdapat 27 buah klinik kerajaan menyediakan perkhidmatan pemulihan pesakit mental yang tidak serius, manakala pesakit yang lebih kronik ditempatkan di hospital sakit jiwa.

-- BERNAMA

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...