Subky Abdul Latif
Thu | Jul 24, 08 | 6:08:32 pm MYT
Arus bagi Umno supaya menukar pimpinannya bertambah kencang. Ia sudah bermula lama tetapi kecenderungan itu kian deras sekarang.
Pimpinan sekarang regu Abdullah Badawi � Najib melanjutkan taktik Dr. Mahathir mengecualikan Presiden dan Timbalan Presiden dari pertandingan dan peruntukan kuota yang perlu diperolehi oleh calon juga dikekalkan.Justeru tawaran Tengku Razaleigh untuk menjadi calon Presiden Umno tidak mendapat sambutan. Tengku Razaleigh membuat tawaran lagi kali ini. Arus supaya digalakkan pertandingan bagi pemilih pemimpin Umno itu seperti payah disekat.
Kalaupun bukan Tengku Razaleigh yang jadi pencabar pemegang jawatan, Presiden sekarang dirasakan perlu diganti. Justeru itu pertandingan dituntut dan siapa saja calon tidak penting asal Abdullah Badawi digantikan. Itulah kelibat mood dan suasana.
Dr. Mahathir dan pemujanya mahukan ia jadi begitu, bukan sekadar mahu melihat Presiden Umno bertukar, malah itu saja keadaan bagi membolehkannya menjadi ahli Umno semula dan boleh mati dalam Umno.
Abdullah tidak dapat menyekat gesaan itu, maka beliau menolak cadangan menangguhkan lagi pemilihan pimpinan. Ia akan diadakan hujung tahun ini.
Tengku Razaleigh segera menawarkan diri menjadi calon tetapi minta kuota pencalonan dihapuskan. Ada di kalangan menteri dan Majlis Tertinggi parti menyokongnya. Yang berani berterangan Rais Yatim dan Muhyidin Yasin pula tidak menyebut kuota itu wajar dibatalkan tetapi mahukan ada pertandingan.
Hishamuddin Hussein yang selalunya jadi hulubalang pemimpin acap menyebut perlembagaan Umno tidak menghalang pertandingan.
Payah bagi Abdullah menolak kemahuan itu tetapi tidak memberikan reaksi terhadap desakan membatalkan kuota pencalonan.
Tengku Razaleigh terus berjumpa ahli-ahli Umno di mana-mana. Meminta secara terbuka dia dicalonkan.
Ketika yang sama Najib yang digalakkan oleh penyokong-penyokongnya setuju dengan kemahuan Dr. Mahathir supaya mencabar ketuanya bagi mengelakkan pimpinan jatuh kepada Tengku Razaleigh.
Selepas menemui Dr. Mahathir, Najib dipercayai bertambah galak untuk mencabar ketuanya. Dia dikatakan hampir pasti mencabarnya. Banyak pendapat yakin dia akan menghalang peluang Tengku Razaleigh bagi mendapatkan pencalaonan. Dan dia dirasakan menang selesa atas Abdullah.
Abdullah menyedari masalahnya segera tertarik dengan cadangan menyerahkan kuasa kepada timbalannya. Mula-mula tidak menyebut tarikh tetapi tiba-tiba mengumumkan pada Jun 2010.
Ia dikatakan bagi mengelakkan dia dicabar Najib. Setakat ini tidak ada kerugian bagi Najib menerima kerelaan Abdullah itu, tetapi ada risiko kalau Tengku Razaleigh dapat melepasi kuota pencalonan dan ada pula calon Timalan Presiden yang mendapat kuota.
Kalau Najib sedia mencabar Presiden, dia dipercayai boleh mendapat kuota yang dikehehendaki dan dipercayai boleh menang selesa. Ia boleh menggagalkan hasrat Tengku Razaleigh. Jika dia tidak bertanding, Tengku Razaleigh boleh dapat cukup pencalonan.
Usaha terakhir Abdullah ialah mengumumkan Najib menjadi Perdana Menteri dan pemangku Presiden Umno mulai Jun 2010 dengan harapan Najib tidak mencabarnya dalam pemilihan ini. Membisu terhadap desakan menghapuskan kuota pencalonan dan menggalakkan Perhubungan Umno negeri mengekalkan Presiden dan Timbalan Presiden dicalonkan semula tanpa pertandingan.
Bermulakan dengan Umno Pulau Pinang, maka rata-rata perhubungan negeri mula membuat keputusan itu walaupun cawangan dan bahagian belum mengadakan mesyuarat. Malah Majlis Tertinggi juga dikatakan suka kepada kemahuan itu.
Rafidah Aziz dan Ali Rustam sudah menyokong supaya Abdullah dan Najib dicalonkan semula tanpa bertanding.
Ia satu percubaan supaya cawangan dan bahagian yang bakal bersidang tidak mencalonkan Tengku Razaleigh. Jika isyarat itu diterima oleh Umno akar umbi, maka ia bakal melihat peralihan kuasa secara lisin dua tahun lagi.
Dan bagi Abdullah dan penyokongnya, ia adalah usaha Najib tidak mencabarnya, kerana kemenangan mereka nanti akan memberi laluan mudah bagi Najib mengambil alih pimpinan negara dan Umno.
Itulah yang manusia dapat rancang dan rancangan Allahlah yang hakiki.
Maka semuanya menunggu apakah Tengku Razaleigh akan menjadi calon Presiden Umno kali ini dan Najib tidak akan mencabar Abdullah?
Apa pun percubaan Abdullah itu adalah lanjutan tradisi Umno sejak era Tunku Abdul Rahman tidak menyerahkan hak memimpin parti itu kepada ahli-ahli Umno.
Ahli-ahli Umno tidak diberi hak untuk menentukan siapakah yang wajar memimpin parti itu. Hanya Dato Onn sebagai pemimpin dan pengasas Umno ketika meletakkan jawatan menyerahkan kepada ahli menentukan penggantinya. Dia tidak menamakan pemangku jawatannya bakal menjadi penggantinya.
Tunku Abdul Rahman yang dipercayai digulingkan, ketika mengumumkan pengunduran dirinya mencalonkan timbalannya Tun Razak sebagai penggantinya. Hussein Onn yang memangku Presiden atas kematian Tun Razak dicabar Haji Sulaiman Palestin. Tun Razak tidak sempat mengumumkan wasiat menjadikan Hussein sebagai penggantinya.
Tetapi Hussein Onn dan Dr. Mahathir tidak memberi kesempatan kepada Umno untuk menentukan pilihan mereka kerana mereka menamakan ganti masing-masing.
Maka Abdullah juga mengikut tradisi itu menentukan gantinya. Tidak memberi peluang kepada Umno apakah ganti yang dinamakan itu disukai Umno atau tidak. Yang terbaik dalam keadaan sekarang, Abdullah yang dipersoal parti itu wajar menyerahkan kepada Umno menentukan gantinya secara demokrasi.- tajdid _
No comments:
Post a Comment