Muda Mohd Noor | Aug 25, 08 4:09pm
Berdasarkan perkembangan terakhir, penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka menang besar dalam pilihanraya kecil Permatang Pauh, esok.
Tidak mustahil majoriti yang diperolehi oleh bekas timbalan perdana menteri itu lebih besar daripada yang diperolehi oleh isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail dalam pilihanraya umum 8 Mac lalu.
Dr Wan Azizah, yang melepaskan kerusi itu untuk suaminya 31 Julai lalu, mendapat 13,388 undi dengan mengalahkan calon BN Datuk Pirdaus Ismail.
Menurut tinjauan Malaysiakini sepanjang kempen ini sejak 16 Ogos, jentera kempen PKR sangat tersusun dan komited, mereka boleh bekerja siang malam tanpa mengira waktu.
Setiap pelusuk Permatang Pauh terdapat bilik gerakan PKR, malah ada dua atau tiga bilik gerakan di satu kampung.
Petugas-petugas pilihanraya PKR nampak begitu bangga membahagikan risalah perkembangan terbaru pilihanraya kerusi parlimen itu kepada orang ramai.
Isu liwat yang dimainkan oleh BN dalam kempen-kempen mereka juga dijangka tidak berkesan ekoran kejayaan PKR mendapatkan imam Masjid Wilayah Persekutuan, Ramlang Porigi menjelaskan isu itu kepada pengundi mulai malam tadi.
Ramlang muncul di tiga majlis anjuran pembangkang untuk menjelaskan kehadirannya di majlis sumpah laknat Mohd Saiful Bukhari Azlan di Masjid Wilayah Persekutuan, 15 Ogos lalu.
Permatang Pauh sememangnya kubu kuat PKR dan ia seolah-olah menjadi kerusi tradisi keluarga Anwar.
Anwar dipilih ahli parlimen Permatang Pauh selama 17 tahun sejak 1982, manakala Dr Wan Azizah mengambil alihnya sejak 1999 setelah suaminya dipenjarakan selama enam tahun mulai 1998.
Malah bapanya Datuk Ibrahim Abdul Rahman pernah menjadi ahli parlimen Permatang Pauh (dulu dikenali Seberang Tengah) selama satu penggal mulai 1969.
Malah pemimpin Umno termasuk timbalan presiden Datuk Seri Mohd Najib Razak dan Ketua Pemudanya Datuk Seri Hishammuddin Hussein sendiri mengakui Permatang Pauh merupakan kubu kuat PKR.
Sangat sukar membayangkan kerusi Permatang Pauh gagal dipertahankan di tangan Anwar esok, khususnya tiada seorangpun tokoh BN sepopularnya untuk memberikan cabaran.
Tinjauan di program-program Anwar menunjukkan ribuan orang hadir bukan sahaja di kalangan penyokong pembangkang tetapi juga dipercayai pengundi atas pagar.
Dalam satu majlis di Tenggiri, Seberang Jaya, ribuan hadir mendengar ceramah walaupun kira-kira 100 meter itu ada majlis ceramah Najib dan naib Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin.
Meskipun jentera BN turut dibantu oleh Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, sukar untuk calon BN Datuk Arif Shah Omar Shah mencapai kemenangan.
Keputusan sama ada Anwar atau Arif Shah yang akan menjadi ahli Parlimen Permatang Pauh bagaimanapun bukan semata-mata ditentukan oleh kekuatan jentera dan kempen pilihanraya parti masing-masing.
Kemenangan salah seorang daripada dua calon besar itu hak 58,459 pengundi berdaftar.
Selain mereka, ia turut dimeriahkan oleh calon Angkatan Keadilan Insan Malaysia (Akim), Hanafi Hamat.
No comments:
Post a Comment