Monday, August 25, 2008

Sindin Keluar PBS, Mungkin Sertai PKR - BERNAMA

25 Ogos, 2008 18:56 PM

KOTA KINABALU, 25 Ogos (Bernama) -- Ketua Parti Bersatu Sabah (PBS) Bahagian Kiulu, Sindin Ranggangon, yang mencadangkan supaya presiden PBS Datuk Seri Josepah Pairin Kitingan melepaskan jawatan, telah keluar dari parti itu dan bercadang menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Semasa mengumumkan keputusan itu, Sindin berkata PBS Bahagian Kiulu juga telah dibubarkan semalam dan majoriti penyandang jawatan dalam bahagian itu turut meletakkan jawatan masing-masing.

Baru-baru ini, Sindin diberikan surat tunjuk sebab kerana menggesa Pairin berundur kerana menyifatkan pemimpin politik veteran Sabah itu tidak lagi mampu memimpin parti.

"Ianya keputusan majoriti. Kami hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Pairin. Kami berasa Pairin hanya mengambil berat terhadap kroninya di Kiulu dan membelakangkan kepentingan penyokong kuat yang berjuang selama ini untuk parti," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

"Mungkin kita tidak penting dan sebab itu Pairin tidak menghargai perjuangan dan sumbangan kami kepada parti.

Sejak kami rasa kami dipinggirkan dan suara kami tidak kedengaran...kami tidak mempunyai pilihan kecuali meneruskan perjuangan kami untuk penduduk Kiulu di medan yang berlainan," katanya.

Berikutan pembubaran bahagian itu, Sindin berkata sejumlah 3,000 ahli parti dari bahagian itu mempunyai pilihan sama ada untuk berehat dari politik atau menyertai parti lain termasuk Pakatan Rakyat.

"Kami membiarkan mereka untuk membuat keputusan. Dalam kes ini, saya menimbang secara serius untuk menyertai PKR," katanya, sambil menambah "dalam politik tiada sesiapa yang kuat atau lemah selama-lamanya."

Pada 14 Ogos lepas, Jawatankuasa Disiplin PBS telah mengeluarkan surat tunjuk sebab kepada Sindin kerana menggesa Pairin menyerahkan kepimpinan parti itu kepada pemimpin yang lebih berkaliber.

Sebaliknya, Sindin mencadangkan timbalan presiden PBS Datuk Dr Maximus Ongkili mengambil alih kepimpinan parti yang disifatkan sebagai lebih layak dan berkaliber.

-- BERNAMA

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...