Muda Mohd Noor | Aug 22, 08 3:17pm Seorang lagi bekas orang kuat Datuk Seri Anwar Ibrahim `menyerang' penasihat PKR itu, dalam kempennya membantu Barisan Nasional (BN) dalam pilihanraya kecil Parlimen Permatang Pauh.
Bekas Naib Presiden PKR, Saidatul Badru Said Keruak berkata, negara akan menjadi huru-hara jika Anwar berkuasa atau menjadi perdana menteri.
Ketika berkempen membantu calon BN, Datuk Arif Shah Omar Shah, beliau berkata, jangan sesekali memberi kemenangan kepada Anwar dalam pilihanraya kecil ini.
Saidatul Badru berkata, beliau sangat kecewa cara Anwar mengendalikan PKR dan mendakwa, pemimpin pembangkang itu mahu membalas dendam kepada orang Sabah.
"Saya tidak tahu sebabnya, tetapi dia menawarkan jawatan pengerusi PKR negeri kepada Jeffrey Kitingan yang sebelum ini dipegang oleh orang Islam," katanya.
Ketika ditemui di Seberang Jaya semalam, Saidatul Badru berkata, sepatutnya Anwar mengambil daya usaha menyatukan umat Islam di seluruh negara dan bukannya membiarkan ia terus berpecah.
Tidak bertanding
Katanya, atas alasan itu, beliau mengambil keputusan meninggalkan PKR dan kembali ke pangkuan Umno sebulan lalu.
Semasa bersama PKR, beliau pernah menjadi pengerusi perhubungan negeri dan bertanding di kerusi Parlimen Sepanggar dalam pilihanraya umum 2004
Bagaimanapun, anak bekas ketua menteri Sabah itu tidak bertanding dalam pilihanraya umum lalu.
Semalam bekas ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Ezam Mohd Nor turut berkempen membantu calon BN dalam pilihanraya kecil tersebut.
Ezam berkata, beliau berceramah siang malam sejak hari penamaan calon 16 Ogos lalu untuk mendedahkan siapakah Anwar sebenarnya.
Pilihanraya Permatang Pauh menyaksikan persaingan tiga penjuru antara Anwar, Arif Shah dan Hanafi Mamat dari Angkatan Keadilan Insan Malaysia (Akim).
No comments:
Post a Comment