Friday, August 22, 2008

Rumah Pengendali Blog Malaysia Today Diserbu Polis - BERNAMA

22 Ogos, 2008 18:30 PM

KUALA LUMPUR, 22 Ogos (Bernama) -- Rumah pengendali blog Malaysia Today, Raja Petra Kamaruddin, pagi ini diserbu polis berhubung siasatan akuan berkanun seorang doktor Hospital Pusrawi dalam kes liwat yang didakwa membabitkan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sekumpulan polis menggeledah rumahnya di Bukit Rahman Putra, Sungai Buloh pada pukul 8 pagi ini dan meninggalkan kediaman tersebut dua jam kemudian.

Polis merampas sebuah komputer riba, alat pengimbas dan beberapa dokumen yang diyakini dapat membantu siasatan.

Difahamkan, penulis blog kontroversi itu akan disiasat polis selepas pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh Selasa ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Koh Hong Sun ketika dihubungi hari ini mengesahkan perkara itu namun enggan mengulas lanjut.

Pada 1 Ogos lepas, Dr Mohamed Osman Abdul Hamid, seorang warganegara Myanmar dikatakan telah memfailkan akuan bersumpah mempertahankan laporan perubatannya yang mendapati Mohd Saiful Bukhari Azlan tidak diliwat.

Mohd Saiful telah diperiksa oleh Dr Osman sebelum membuat laporan polis pada 28 Jun mendakwa dirinya telah diliwat Anwar.

-- BERNAMA

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...