Thursday, August 14, 2008

Isu 'Ah Long': Suami Nor Azlin kesal dituduh tidak bertanggungjawab - mStar Online

14-08-2008 09:21:18 PM
Oleh SITI AZIRA ABD AZIZ

KUALA LUMPUR: Selepas 34 hari menghilangkan diri, suami aktres Wan Nor Azlin, Mohd Yazli Yaacob (gambar) muncul memberikan sidang media bersama Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) di Restoran Sembang-Sembang, The Mall, di sini, pukul 2 petang tadi.

Yazli, 38 tahun, hadir untuk memberi kenyataan kes ugutan berkaitan 'ah long' yang mendapat liputan besar-besaran dari pihak media minggu lalu.

Kata Yazli, "Saya bukanlah seorang yang tidak bertanggungjawab seperti yang dilaporkan oleh isteri saya sebelum ini.

"Saya juga tidak lari. Cuma berilah saya masa dan jangan beri saya tekanan. Kalau saya tertekan, saya tak boleh bekerja dan apa yang saya boleh lakukan? Saya hanya boleh duduk dan tak melakukan apa-apa. Bagi saya peluang untuk memberi keterangan dan mencari jalan penyelesaian.

"Kalau nak tahu hal yang berlaku ini bukanlah disebabkan 'ah long' sahaja tetapi sebab lain juga yang berlaku sejak dua tahun lalu. Ia masalah peribadi dan tak payahlah saya beritahu..

"Jadi, saya tampil mengadakan sidang media bersama PPIM hari ini kerana saya hendak betulkan kenyataan isteri saya yang mengatakan saya tidak bertanggungjawab."

Turut serta dalam sidang media tersebut adalah Setiausaha Agung PPIM, Datuk Dr. Ma'amor Osman dan Pegawai Aduannya, Mohamad Noor Imran.

Menurut Yazli, ketika isterinya meuar-uarkannya menghilangkan diri dan tidak bertanggungjawab, reputasi perniagaannya terjejas.

"Saya rasa kecewa dalam hal ini. Kalau tanya kenapa saya tidak menghubunginya, fikiran saya bercelaru dan ada macam-macam masalah. Saya pun tidak mahu createkan satu perbalahan yang saya tidak boleh selesaikan sekarang sebab fokus saya ialah untuk selesaikan masalah yang besar," kata Yazli.

Yazli berkata, "Walau apapun Nor Azlin tetap isteri saya dan anak-anak tetap anak-

Aduan polis yang dibuat atas kes samun kereta Mercedes Benznya pada 8 Ogos lalu. (Foto Siti Azira)

anak saya. Kalau dia berusaha menghubungi saya memang dapat, tapi dia langsung tidak menghubungi saya.

"Rumah yang dia tinggal sempurna, saya yang bayar. Tapi saya yang tinggal merata-rata. Apabila saya tiada di rumah, ibu bapa saya ada bantu dia. Simpanan wang yang dia ada, kalau tak kerja pun masih cukup menyara dia makan minum.

"Kenapa hendak buka pekung di dada kerana at the end of the day, dia sendiri yang drive the Mercedez and stay in the good house. Cuba cakap terus terang. Tak payah nak cakap yang buruk sangat sampai turun naik bas macam tidak ada kenderaan," ujar Yazli dengan nada kesal.

Tambahnya lagi, "Saya masih lagi seorang peguam dan mempunyai sebuah firma guaman yang sekarang ini terpaksa ditutup kerana tiada pihak yang ingin mengusahakannya."

Yazli berkata, dia sendiri tidak mampu menguruskan pejabat tersebut dengan tekanan masalah yang dihadapinya sekarang.

"Saya tidak minta semua hal ini berlaku. Berilah saya peluang dan janganlah katakan saya tidak bertanggung jawab," katanya.

Yazli juga turut melahirkan rasa bersalahnya. Dengan rasa rendah diri, Yazli memohon maaf kepada keluarga dan isterinya.

Katanya,"Saya akui saya bersalah kerana terpaksa tetapi dalam masa yang sama saya dipergunakan oleh anak guam saya untuk dapatkan pinjaman. Saya menjadi penjamin untuk beberapa orang. Pada mulanya saya meminjam RM30 ribu mulai Jun 2007.

"Duit tu bukanlah untuk saya gunakan kesemuanya tetapi saya pinjamkan kepada kawan-kawan iaitu kira-kira tiga suku daripada pinjaman tersebut.

"Daripada wang RM30 ribu itu, jumlah pinjaman saya semakin meningkat disebabkan bunga yang keterlaluan. Saya dikenakan bunga RM5 ribu sehari.

"Saya sudah bayar secara ansuran iaitu kira-kira RM300 ribu setiap bulan sehingga bulan Jun lalu. Namun, jumlah tersebut jika dikira pada catatan yang direkod. Saya rasa yang tak direkod mungkin sudah mencecah jutaan ringgit. Saya mula berhenti bayar apabila sudah tidak mampu lagi dan simpanan saya lesap. Jadi, saya mohon pertolongan kepada pihak tertentu untuk langsaikannya."

Yazli turut menambah alasan yang kukuh yang membuatkan dia terjebak dengan 31 'ah long'. Yazli mengibaratkan hidupnya seperti 'jatuh ditimpa tangga'.

"Kalau kita dah terdesak dan 'ah long' datang sambil tersenyum dan menghulurkan duit, mesti kita akan ambil. Sampai orang cakap kenapa suka-suka nak ambil? Saya bukan saja-saja nak ambil tetapi terpaksa sebab masa untuk bayar balik pinjaman terlalu pendek iaitu 10 hari. Kita dah tahu tak boleh bayar dalam masa itu. Jadi kita terpaksa ambil untuk bayar bunga yang dikenakan.

"Tolak sana, tolak sini (jumlah hutang) dah jadi RM300 ribu..."

Dalam sidang media tersebut, Yazli turut menunjukkan laporan polis yang dibuat berhubung kes samun keretanya iaitu Mercedes Benz S320 pada 8 Ogos lalu di Balai Polis Daerah Petaling Jaya, Selangor. Laporan tersebut dibuat pada dua hari lalu.

Dalam laporan tersebut, Yazli berkata dia telah diserang oleh beberapa orang lelaki kira-kira pukul 3 petang di Amcorp Mall, Petaling Jaya setelah dihubungi oleh seorang lelaki untuk berbincang tentang membantunya menyelesaikan hutang dengan pemberi pinjaman (ah long). Mereka telah menampar mukanya dan merampas kunci keretanya lalu melarikannya.

Dia turut membuat laporan berhubung kes rumahnya diserang dan simbah cat oleh 'ah long' di Balai Polis Sea Park, Petaling Jaya, Selangor, semalam.

Dalam laporan itu, Yazli menyatakan dia percaya bahawa kejadian itu dilakukan oleh 'ah long' setelah menerima beberapa panggilan berunsur ugutan dari 'ah long' tersebut.

Pada 30 Julai lalu, rumah Yazli dan isterinya, pelakon Wan Nor Azlin diserang dan disimbah dengan cat pelbagai warna oleh 'Ah Long'.

Sebelum itu, Azlin diserang oleh 'Ah Long' setelah suaminya, Mohd. Yazli Yaacob gagal melangsaikan hutang kira-kira RM200,000 dengan 30 'ah long'.

Bukan itu sahaja, rumahnya turut ditampal poster yang memaparkan salinan kad pengenalan suami serta tertera ayat `Jika awak tak bagi wang awak ialah babi'.

Pada 5 Ogos lalu, Azlin telah menghadiri sidang media mendedahkan masalah itu di Ibu Pejabat MCA di Kuala Lumpur. Azlin juga telah membuat laporan berhubung kes ugutan 'ah long' itu di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya sejak pertengahan bulan lalu.


No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...