Aug 14, 08 5:37pm Calon Barisan Nasional (BN) di pilihanraya kecil Parlimen Permatang Pauh, Datuk Arif Shah Omar Shah, mendakwa terdapat "pengundi hantu" di kawasan itu.
Arif Shah, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Seberang Jaya berkata, satu kajian yang dibuat selepas pilihanraya 8 Mac lalu, mendapati banyak nama pengundi yang didaftarkan menggunakan satu alamat tetapi apabila disemak, hanya dua atau tiga orang sahaja yang tinggal di alamat itu.
"Saya tidak pasti sama ada mereka ini pengundi hantu, pengundi yang menumpang atau pekerja kilang di kawasan Sungai Petani atau berhampiran yang menggunakan alamat itu tetapi tidak tinggal di situ," katanya kepada pemberita di rumahnya di Persiaran Tenggiri, Seberang Jaya, dekat Bukit Mertajam.
Bernama memetiknya sebagai berkata, kebanyakan pemilik rumah itu juga tidak mengenali nama-nama yang menggunakan alamat rumah mereka dan beliau mahu Suruhanjaya Pilihanraya (SPR), menyiasat perkara itu.
"Saya bimbang jika perkara ini disengajakan, ia akan memberi kesan kepada keputusan pilihanraya yang sebenarnya," kata Arif Shah yang dijangka menentang penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim 26 Ogos ini. Kerusi itu dikosongkan oleh isteri Anwar, Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail yang juga presiden PKR.
Bagi kerusi negeri Seberang Jaya, pada pilihanraya 2004, Arif Shah, yang memperoleh 10,113 undi menewaskan Dr Mansor Othman dari PKR dengan majoriti 4,464 undi, dan dalam pilihanraya baru-baru ini, beliau menang dengan majoriti 533 undi setelah mengalahkan Ramli Bulat juga dari PKR.
Setiausaha SPR Datuk Kamaruzaman Mohd Noor ketika diminta mengulas mengenai dakwaan kewujudan "pengundi hantu" itu, berkata sebarang bantahan terhadap daftar pemilih mestilah dilakukan ketika ianya dipamerkan.
"Seksyen 9A Akta Pilihan Raya 1958 menyatakan mana-mana daftar pemilih yang telah disahkan melalui proses undang-undang tidak boleh dipertikaikan oleh mana-mana mahkamah.
"Daftar pemilih yang telahpun diluluskan undang-undang itu tetap akan digunakan pada pilihanraya kecil Permatang Pauh," katanya.
Kamaruzaman juga berkata segala persiapan SPR bagi menghadapi pilihanraya kecil itu berjalan lancar.
Seramai 58,459 pemilih termasuk 490 pengundi pos, layak mengundi dalam pilihanraya kecil itu.
No comments:
Post a Comment