Friday, August 1, 2008

PAS, DAP Ikrar Bantu Anwar Di Permatang Pauh

BERNAMA
31 Julai, 2008 19:25 PM

KUALA LUMPUR, 31 Julai (Bernama) -- PAS dan DAP menerima keputusan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengosongkan kerusi Parlimen Permatang Pauh bagi memberi laluan kepada suaminya, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk bertanding pada pilihan raya kecil di situ.

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Anggota Parlimen Ipoh Timur Lim Kit Siang berkata kedua-dua parti Pakatan Rakyat itu akan mengerahkan jentera parti masing-masing untuk memastikan kemenangan Anwar, yang juga Penasihat PKR.

Mereka mengakui telah dimaklumkan berhubung keputusan Dr Wan Azizah yang juga Ketua Pembangkang.

Dr Wan Azizah, 55, mengumumkan keputusannya pada persidangan akhbar di ibu pejabat PKR hari ini, yang turut dihadiri Anwar dan anaknya Nurul Izzah, Anggota Parlimen Lembah Pantai.

Ketua Penerangan PAS Pusat Mahfuz Omar menyifatkan keputusan yang dibuat oleh Dr Wan Azizah itu adalah sesuatu yang baik dan bijak.

"Saya difahamkan, keputusan yang beliau buat itu juga adalah bagi memenuhi janji yang dibuat pada pilihan raya lepas, untuk melepaskan jawatan sebagai Anggota Parlimen Permatang Pauh dan memberi laluan kepada Anwar untuk bertanding.

"Kami anggota Pakatan Rakyat (PR) mengalu-alukan keputusan yang dibuat oleh Dr Wan Azizah itu.

Kami juga mengalu-alukan kemasukan kembali Anwar ke gelanggang politik khususnya untuk bertanding pada pilihan raya kecil Permatang Pauh," katanya kepada Bernama.

Berhubung kekosongan jawatan Ketua Pembangkang di Parlimen, beliau berkata PR membincangkan sama ada kekosongan itu perlu diisi sebelum pilihan raya kecil Permatang Pauh.

Mahfuz berkata Dr Wan Azizah telah menunjukkan ketokohan sebagai anggota Parlimen dan Ketua Pembangkang yang berwibawa.

Mahfuz, yang juga Anggota Parlimen Pokok Sena, yakin Anwar akan mendapat sokongan penduduk di Permatang Pauh.

"Kami berharap Anwar bukan sahaja akan menjadi Ketua Pembangkang di Parlimen, malah beliau juga akan menjadi Ketua Kerajaan," katanya.

"Kami akan memberi sokongan penuh kepada Anwar untuk bertanding dalam pilihan raya kecil Permatang Pauh," kata Kit Siang ketika dihubungi.

Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohammad ketika ditanya mengenai tindakan Dr Wan Azizah mengosongkan kerusi Parlimen Permatang Pauh, berkata: "Sesungguhnya..., itulah yang sebaik-baiknya dilakukan oleh seorang isteri penyayang."

Dr Mahathir berkata demikian pada satu sidang akhbar di pejabatnya di Menara Berkembar Petronas di sini hari ini.

Sementara itu di TUMPAT, Ketua Wanita MCA Datuk Dr Ng Yen Yen berkata tindakan Dr Wan Azizah melepaskan jawatan Anggota Parlimen Permatang Pauh sebagai mengkhianati rakyat.

Ng, yang juga berkata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata tindakan itu dilihat sebagai mengkhianati amanah yang diberikan oleh rakyat pada pilihan raya umum lalu.

"Saya tidak terkejut dengan tindakan presiden PKR itu kerana sebelum ini pun kita sudah maklum beliau hanya pegang sementara untuk suaminya tetapi beliau sepatutnya menghormati mandat yang diberikan," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Program Pembangunan Minda Insan di sini, hari ini.

Di PULAU PINANG, Ketua Umno Bahagian Permatang Pauh, Datuk Abdul Jalil Abdul Majid juga sependapat dengan Ng.

"Pengundi bersusah payah mengundi beliau tetapi dengan senangnya dia mengkhianati mereka. Bila dah menang, letak jawatan dan bagi pada suaminya pula bertanding.

"Tindakan sedemikian juga dilihat sebagai satu pembaziran kerana perbelanjaan untuk mengadakan pilihan raya kecil bukannya sedikit. Wang itu sepatutnya boleh digunakan untuk tujuan pembangunan," katanya ketika dihubungi Bernama di sini.

Di PUTRAJAYA, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Syed Hamid Albar berkata tindakan Dr Wan Azizah itu adalah lambang kasih dan cinta seorang isteri kepada suaminya.

Katanya perkara itu sudah lama dijangkakan berikutan tindakan Anwar sendiri yang sering membuat pengumuman bahawa beliau akan kembali bertanding pilihan raya.

"Itu menunjukkan kasih dan cinta seorang isteri kepada suaminya.. itu sangat bagus. Selamat maju jaya kepada beliau (Anwar)," katanya.

-- BERNAMA

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...