Friday, August 1, 2008

Pemuda MIC Kembali Pulih, Kata Ketua Baru

BERNAMA
31 Julai, 2008 17:15 PM

KUALA LUMPUR, 31 Julai (Bernama) -- Pemuda MIC, yang dilanda krisis kepimpinan sejak beberapa bulan lepas, kini sudah pulih selepas pelantikan penyandang jawatan di peringkat kebangsaan dan negeri, kata ketua barunya T. Mohan hari ini.

Katanya kesemua pemimpin baru Pemuda telah mengadakan mesyuarat exco pertama dan semua bersetuju untuk melupakan masalah yang melanda sayap MIC itu dan berusaha dengan semangat jitu untuk menjadikan pergerakan itu lebih relevan.

"Peranan pertama kita adalah untuk menarik kira-kira 5,000 ahli baru. Kita tidak lihat matlamat ini sukar dicapai. Kami juga mengadakan sesi percambahan idea di Cameron Highlands hujung minggu lepas dan maklum balas yang diterima amat menggalakkan.

"Kita akan mengadakan pejabat pentadbiran sendiri dan bilik latihan untuk melahirkan pemimpin muda di tingkat tujuh ibu pejabat MIC di sini," katanya pada sidang media di sini..

Mohan menjelaskan bahawa dengan pelantikan pemimpin Pemuda, Majlis Penasihat Pemuda MIC yang diketuai oleh bekas timbalan ketua Pemuda, S. Ramis akan terus memainkan peranan sebagai badan penasihat sayap itu.

Pemuda MIC dilanda krisis sejak beberapa bulan lepas selepas Jawatankuasa Kerja Pusat MIC (CWC), menasihatkan bekas pemimpin yang telah mencapai umur 41 supaya berundur dari memegang jawatan walaupun tempoh perkhidmatan mereka belum berakhir.

Keputusan tersebut menyebabkan beberapa pemimpin termasuk Ketua Pemudanya S. A. Vigneswaran meletakkan jawatan dan keluar parti.

Mohan juga berkata presiden parti Datuk Seri S. Samy Vellu telah bersetju dengan pelantikan pemegang jawatan dalam Pemuda kebangsaan dan peringkat negeri.

Sementara itu, Samy Vellu telah diberi taklimat oleh Yayasan Tekun Nasional mengenai skim pinjaman pembangunan usahawan muda kaum India berjumlah RM3 juta di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi.

Usahawan muda diberi pinjaman antara RM500 hingga RM10,000. Peminjam perlu berusia di bawah 40 tahun serta mempunyai syarikat yang berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat dan permohonan pinjaman akan diproses dalam tempoh 14 hari.

SENARAI PEMIMPIN PEMUDA KEBANGSAAN DAN NEGERI

----------------------------------------------

Pemuda MIC Kebangsaan:

Ketua: T.Mohan

Timbalan:S. Murugesan

Setiausaha: C. Shivarraaj

Penolong Setiausaha: R. Vengadasalam

Setiausaha Eksekutif: M. Nitesh

Bendahari: S. Ganesan

Ketua Penerangan: T.M.Selvam

Ketua Pemuda MIC Negeri:

M. Yogeswaran (Selangor), B. Pannier Selvam (Johor), S.K. Suresh (Kedah), M. Suresh (Pulau Pinang), G. Shanmugiavallo (Perak), G. Shanker (Kelantan), G. Padmanathan (Wilayah Persekutuan), P.Shanmugam (Melaka), K Murali (Negeri Sembilan), G. Ramesh (Pahang), Dr Hari Ram (Perlis), M. Taren Sunil (Sabah), P. Ramachandran (Terengganu).

-- BERNAMA

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...