Monday, August 18, 2008

Polis rentap 'mayat AUKU' selepas demo - MALAYSIAKINI

Jimadie Shah Othman | Aug 18, 08

"Kami bawa mayat AUKU, tetapi kemudian dirampas oleh polis" - kata seorang pemimpin Gerakan Mahasiswa Mansuhkan AUKU (GMMA).

Patung mayat, sebesar saiz manusia, yang dikafankan dengan kain putih diusung dalam keadaan renyai-renyai dari depan pintu bangunan Parlimen ke pinggir Tugu Peringatan Negara selepas selesai bantahan selama dua jam sekumpulan aktivis pelajar.

universiti student auku uuca parliament protest 180808 03Menurutnya lagi, seorang anggota polis merentap patung mayat itu, yang dijadikan lambang bantahan hampir 100 pelajar terhadap Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU), sambil berkata "tolong beri kerjasama."

Penyelaras GMMA Ridzuan Mohammad memberitahu Malaysiakini selepas perhimpunan itu, kejadian berlaku secepat kilat dan "mayat AUKU" dibiarkan dalam simpanan polis tanpa sebarang pergelutan.

Beliau menambah, patung itu gagal dipertahankan di tangan GMMA kerana beberapa pelajar yang sedang memegangnya untuk dibawa pulang masih baru dalam kegiatan ini.

Sewaktu kejadian yang tidak semena-mena itu, kumpulan pelajar itu bergerak kembali ke arah monumen bersejarah itu, hampir satu kilometer dari Parlimen, selepas bersurai kira-kira 11.15 pagi untuk menaiki kenderaan mereka yang diletakkan di sekitar kawasan itu.

Menurut Ridzuan, mereka diekori empat kereta peronda polis dari bangunan Parlimen dan tiga anggota polis yang merampas patung AUKU keluar dari salah sebuah kenderaan itu.

universiti student auku uuca parliament protest 180808 10Perhimpunan anjuran gabungan tersebut, yang disertai tujuh perkumpulan mahasiswa, bermula kira-kira jam 9 dalam cuaca lembab.

Mereka yang berpakaian serba hitam berkumpul bagi menyerahkan memorandum bantahan kepada Kementerian Pengajian Tinggi yang mengusulkan pindaan akta kontroversi tersebut minggu ini.

Selain mengusungkan "mayat", mereka juga berbaring selama beberapa minit di atas jalan depan pintu masuk Parlimen dengan kain rentang hitam bertulisan "Akta Untuk Kuburkan Universiti" sebagai makna lain bagi akronim AUKU.

Sementara beberapa orang lagi membawa kotak yang menggambarkan penjara - sambil diperhatikan oleh kira-kira 20 anggota polis pencegah rusuhan yang mengawal keadaan.

Ridzuan berkata, gimik kumpulan pelajar itu dilakukan untuk menarik perhatian wakil-wakil rakyat yang memasuki bangunan itu.

Bagaimanapun, hanya ahli-ahli parlimen Pasir Mas dan Lembah Pantai memberikan respons.

"Datuk Ibrahim Ali dan Nurrul Izzah Anwar membunyikan hon tanda sokongan," katanya.

Menurut Ridzuan lagi, sewaktu berlangsung demonstrasi itu, polis gagal merampas alat pembesar suara dan kain rentang mereka.

universiti student auku uuca parliament protest 180808 08Kejadian itu berlaku sebelum lima pemimpin GMMA yang diketuainya dibenarkan masuk ke bangunan Parlimen untuk menyerahkan memorandum gabungan itu yang disokong 13 perkumpulan pelajar, tambahnya.

"Selepas berbaring (di atas jalan), polis cuba mengambil pembesar suara dan kain rentang, tetapi dibantah.

"Kenapa pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) boleh gunakan pembesar suara, kami tidak (dibenarkan)," kata Ridzuan, merujuk perhimpunan ribuan pelajar institusi pengajian tinggi itu 12 Ogos lalu di Shah Alam bagi membantah kenyataan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Sebelum memasuki Parlimen, kata Ridzuan lagi, seorang pegawai khas Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khalid Nordin bertemu mereka di depan pintu utama Parlimen dan memaklumkan "Datuk sibuk" dan tidak boleh bertemu GMMA.

Bagaimanapun, timbalannya Datuk Idris Harun sedia bertemu mereka lebih kurang 15 minit dan berjanji akan memberi perhatian serius kepada memorandum itu.

Idris turut menyarankan ahli-ahli gabungan itu hadir semasa sesi Parlimen membincangkan perkara itu, kata Ridzuan.

Ridzuan menjelaskan, GMMA bertindak sedemikian hari ini kerana "tiada respons" daripada kementerian berkaitan selepas pertemuan dengan Idris dan beberapa ahli Kelab Ahli Parlimen BN (BNBBC) 17 Jun lalu.

Memorandum itu, antaranya, meminta kerajaan memansuhkan AUKU dan digantikan dengan sebuah akta baru.

universiti student auku uuca parliament protest 180808 04Sebelum bersurai, mereka melepaskan seekor merpati putih di depan bangunan itu sebagai aspirasi kebebasan mahasiswa yang diperjuangkan gabungan itu.

Turut serta dalam perhimpunan itu dua ahli parlimen DAP, Loke Siew Fook (Rasah) dan Teo Nie Ching (Serdang).

Rang undang-undang pindaan AUKU dijadual dibentangkan untuk bacaan kali kedua di Dewan Rakyat.

Beberapa bahagian pindaan yang dijangka panas termasuklah Seksyen 9 (kuasa menteri melantik ketua kampus cawangan), Seksyen 12 (hak menteri meminda, mengubah, atau membetulkan sesuatu perintah kampus) dan Seksyen 15 (hak mahasiswa berpersatuan).

Seksyen baru 4(a) dan 4(b) pula dijangka berlaku perdebatan berkenaan jawatankuasa menasihati menteri bagi melantik naib canselor yang menyebut "menteri dari masa ke semasa hendaklah melantik satu jawatankuasa untuk menasihatinya mengenai perlantikan itu".

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...