08 September, 2008 17:14 PM
KOTA KINABALU, 8 Sept (Bernama) -- Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu hari ini mengisytiharkan kemenangan tanpa bertanding Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) Tan Sri Joseph Kurup di kawasan Pensiangan pada pilihan raya umum 8 Mac lepas sebagai batal dan tidak sah.
Semasa menyampaikan penghakiman penting itu, Hakim David Wong Dak Wah memutuskan penolakan terhadap kertas pencalonan pempetisyen dari Parti Keadilan Rakyat Danny Anthony Andipai adalah salah dan melanggar hak perlembagaan petisyen untuk mengambil bahagian dalam pilihan raya itu dan undang-undang bertulis berkaitan pengendalian pilihan raya itu.
Dalam penghakiman 36 muka surat, Wong berkata keputusan Timbalan Pengarah Suruhanjaya Pilihan Raya Sabah menerima kertas pencalonan Andipai adalah muktamad dan tidak boleh ditolak oleh Pegawai Pilihan Raya, Bubudan OT Majalu, atas alasan tidak terdapat sebarang bantahan semasa tempoh bantahan.
Timbalan Pengarah itu telah melaksanakan bidang kuasanya seperti diperuntukkan undang-undang dalam membuat keputusan itu, kata Hakim yang turut memutuskan keputusan Bubudan untuk membenarkan bantahan itu merupakan keputusan yang salah.
"Saya mendapati aspek tertentu dalam perbuatan responden kedua (Bubudan) merisaukan dan apabila dilihat secara keseluruhannya, saya hanya dapat merumuskan bahawa keputusan itu pastinya bukan satu keputusan yang akan dibuat oleh tribunal yang munasabah," katanya.
Beliau membuat pemerhatian itu semasa membenarkan petisyen Andipai untuk membatalkan keputusan pilihan raya umum bagi kerusi Pensiangan yang dimenangi tanpa bertanding oleh Kurup pada hari penamaan calon pada 24 Feb.
Andipai menamakan Kurup dan Bubudan sebagai responden. Penghakiman itu sepatutnya dibuat pada 17 Sept tetapi dipercepatkan ke hari ini.
Menggariskan apa yang berlaku pada hari penamaan calon, Wong berkata Andipai tiba di pusat penamaan calon di Dewan Majlis Daerah Nabawan pada kira-kira 9.35 pagi untuk memfailkan kertas pencalonannya bagi kerusi itu.
Selepas membayar deposit sebanyak RM15,000, beliau menunggu gilirannya tetapi apabila beliau cuba menyerahkan kertas pencalonannya, Bubudan enggan menerimanya atas alasan beliau lambat menyerahkannya.
Andipai berhujah bahawa ia bukan kesalahannya tetapi Bubudan dan kakitangannya dan selepas gagal menyakinkan Bubudan, beliau berkata akan membuat laporan polis.
Bagaimanapun, semasa perbincangan sedang berlangsung, seorang daripada penolong pegawai pilihan raya, Osman Aganduk, mendapatkan nasihat daripada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) negeri yang memberikan arahan supaya menerima kertas pencalonan itu.
Wong berkata arahan itu yang diberikan oleh timbalan pengarah SPR Sabah, disampaikan kepada Bubudan yang kemudian menerima kertas pencalonan Andipai dengan masa diterima disahkan pada 10.25 pagi.
Bantahan ditutup pada 11 pagi dan pada kira-kira 1.25 tengah hari, Bubudan mengumumkan Kurup menang tanpa bertanding dan mengisytiharkan pemilihan beliau atas alasan kertas pencalonan Andipai dan seorang calon Bebas, Saineh Usau, diserahkan selepas pukul 10 pagi.
Hakim itu berkata beliau mendapati sukar dipercayai yang Bubudan tidak tahu seperti didakwanya, bahawa kupon yang mempunyai nombor diberikan kepada para calon pada hari berkenaan.
"Jika apa yang dikatakannya itu benar, ini hanya mencerminkan kelemahan dirinya selaku peagwai pilihan raya yang bertanggungjawab penuh di pusat penamaan calon," katanya.
Peguam yang mewakili Andipai, Ansari Abdullah, yang juga Ketua PKR Sabah berkata beliau gembira kerana "keadilan terlaksana".
"Ia bukan cara yang bermoral dalam mengendalikan pilihan raya. Calon kami datang pada 9.35 pagi dan kertasnya ditolak disebalik nasihat Suruhanjaya Pilihan Raya."
Ditanya sama ada Andipai akan diberi keutamaan untuk bertanding di kawasan itu sekiranya diadakan pilihan raya kecil, Ansari berkata pucuk pimpinan parti akan membuat keputusan muktamad mengenai perkara itu.
Kurup, yang juga Timbalan Menteri Luar Bandar dan Wilayah dan presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah tidak dapat dihubungi bagi mendapatkan komen beliau.
Bagaimanapun peguam yang mewakilinya Alex Decena, berkata Kurup akan mengemukakan rayuan terhadap keputusan itu.
-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment