16 September, 2008 22:23 PM
KUALA LUMPUR, 16 Sept (Bernama) -- MCA enggesa kerajaan mengkaji semula secara menyeluruh Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan mewujudkan satu mekanisme untuk semak dan imbang dalam penggunaannya.
Presiden MCA Datuk Seri Ong Ka Ting berkata ini untuk mengelakkan ISA, yang membenarkan penahanan tidak menentu tanpa perbicaraan, dari disalahguna pada masa depan.
"Agar ISA digunakan khusus untuk kes-kes berkaitan keganasan dan anasir subversif," katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Pusat parti itu selama enam jam di Wisma MCA di sini.
Beliau berkata jawatankuasa itu juga mahukan Kementerian Dalam Negeri membebaskan Anggota Parlimen Seputeh Teresa Kok dan pengendali blog Raja Petra Kamaruddin yang masih ditahan di bawah ISA.
Ong berkata kedua-dua tahanan itu, yang dikatakan mencetuskan kemarahan kaum dan agama, sepatutnya disiasat di bawah undang-undang lain dan didakwa di mahkamah jika terdapat bukti yang mewajarkannya.
Turut ditahan di bawah ISA Jumaat lepas ialah pemberita harian Sin Chew Tan Hoon Cheng, tetapi dibebaskan pada Sabtu.
"Penahanan Tan selama 18 jam langsung tidak perlu dan penjelasan yang diberikan bagi penahanannya tidak dapat diterima," tambah Ong.
-- BERNAMA
1 comment:
Memang patut ditahan, mereka ni anti nasional dan proanasir subversif. Hina hak Melayu dan Islam. 'Buang' tulisan Jawi di papan tanda tu hina hak Melayu-Islam maknanya. Walau sekadar mesej papan tanda. Fahaman komunis masih ketara walau dikata telah meletak senjata
Post a Comment