Pemilihan pucuk pimpinan MCA bulan depan bagi jawatan presiden dan timbalan presiden bakal menyaksikan pertembungan dua Ong denga dua Chua.
Persaingan bagi jawatan presiden akan menyaksikan pertembungan antara naib presiden, Datuk Ong Tee Kiat dan bekas naib presiden, Datuk Chua Jui Meng.
Kedua-duanya telah mengesahkan hasrat mereka untuk bertanding jawatan presiden yang dikosongkan oleh Datuk Ong Ka Ting.
Dan hari ini, seorang lagi bekas naib presiden, Datuk Dr Chua Soi Lek mengesahkan hasratnya bertanding jawatan timbalan presiden.
Ini bermakna, beliau akan bertembung dengan Datuk Ong Ka Chuan yang juga setiausaha agung MCA yang telah mengesahkan bertanding jawatan berkenaan.
Pemilihan pucuk pimpinan MCA akan berlangsung pada 18 Oktober depan.
Soi Lek mengumumkan keputusannya untuk bertanding jawatan timbalan presiden dalam satu sidang akhbar di ibunegara hari ini.
Keputusannya itu dilihat sebagai usahanya untuk kembali aktif dalam politik setelah melepaskan semua jawatannya dalam parti itu selepas terbabit dalam satu skandal seks.
Sebelum ini, beliau diramalkan bertanding jawatan presiden.
Bagaimanapun, difahamkan, Soi Lek memilih jawatan timbalan bagi mengelak pertembungan tiga penjuru dalam perebutan jawatan presiden.
Dalam sidang pagi ini, Soi Lek turut melancarkan satu manifesto untuk menghadapi pemilihan parti itu bulan depan.
Secara umumnya, dalam manifesto, beliau menjanjikan perubahan untuk MCA dalam menghadapi masa depan.
No comments:
Post a Comment