Saturday, October 18, 2008

Harga Minyak Mungkin Turun Lagi Akhir Bulan Ini - Shahrir - BERNAMA

17 Oktober, 2008 19:44 PM

PUTRAJAYA, 17 Okt (Bernama) -- Harga petrol dan diesel di negara ini mungkin akan turun lagi akhir bulan ini, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Shahrir Abdul Samad.

Beliau berkata ini berikutan trend penurunan harga minyak mentah dunia ketika ini.

Minyak mentah dunia mencatatkan harga US$69.85 setong semalam berbanding US$77.70 setong pada 12 Okt.

Beliau berkata tindakan menurunkan harga minyak kini lebih mudah kerana ia tidak perlu lagi dibawa kepada Kabinet, sebaliknya mesyuarat beberapa menteri dengan dipengerusikan oleh Perdana Menteri.

Harga minyak di pam sudah turun tiga kali sejak Ogos lepas iaitu pada 23 Ogos, 24 Sept dan kali terakhir 15 Okt.

Harga petrol Ron97 turun dari RM2.70 seliter kepada RM2.55, RM2.45 dan RM2.30 manakala petrol Ron92 dari RM2.62 seliter kepada RM2.40, RM2.30 dan RM2.20.

Diesel pula turun dari RM2.58 seliter kepada RM2.50, RM2.40 dan RM2.20.

Kerajaan, katanya, tidak boleh menurunkan harga minyak secara mendadak kerana dikhuatiri boleh menjejaskan bekalan kepada pengguna.

Sebelum ini, Shahrir pernah membayangkan harga minyak di pam boleh kembali ke harga asal sebelum 5 Jun iaitu RM1.92 seliter sekiranya harga minyak mentah dunia mencecah US$72 setong.

-- BERNAMA

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...