Friday, August 8, 2008

Singapura Sambut 43 Tahun Merdeka Esok - BERNAMA

08 Ogos, 2008 19:07 PM

Oleh Zakaria Abdul Wahab

SINGAPURA, 8 Ogos (Bernama) -- Hanya tinggal beberapa jam sahaja lagi ke tengah malam ini, Singapura akan menyambut ulang tahun kemerdekaannya yang ke-43 tahun.

Sambutan mengira undur jam hingga ke detik 12 tengah malam akan diadakan di Esplanade di Teluk Marina di sini mulai jam 11 malam ini.

Tarikh kemerdekaan Singapura ditetapkan pada 9 Ogos iaitu tarikh Singapura berpisah dari Malaysia pada 1965 setelah dua tahun berada dalam Malaysia sejak 16 Sept 1963.

Mengikut rentetan sejarah, Singapura meninggalkan Malaysia setelah berlaku pertelagahan idelogi di antara Parti Tindakan Rakyat (PAP) dengan Kerajaan Persekutuan Kuala Lumpur.

Kini Singapura yang digelar negara industri baru dengan per kapita Keluaran Dalam Negara Kasar (KNDK) melebihi AS$35,000 pada tahun lalu adalah anggota termaju daripada 10 anggota Pertubuhan Negara-negara Asia Tenggara (Asean).

Dengan penduduk sejumlah 4.5 juta orang termasuk penduduk tetap, Singapura merupakan pusat pelabuhan antarabangsa, hab perbankan serta pusat perkhidmatan pelbagai industri yang termaju di rantau ini.

Singapura bercita-cita menjadi sebuah negara seperti di Eropah, yang maju dengan mempunyai imbangan kemajuan fizikal, kewangan, alam sekitar yang baik serta masyarakat yang berseni kreatif dan dinamik.

Pelbagai persiapan telah diatur Kerajaan Singapura untuk menyambut hari kebangsaannya termasuk satu perarakan dan pertunjukan di atas pentas terapung yang dibina khas di Teluk Marina petang esok.

Antara persembahan esok ialah pertunjukan udara oleh pasukan aerobatik 'Black Knights' dari Angkatan Udara Singapura, pertunjukan bunga api dan persembahan di atas air.

Jalan-jalan raya, bangunan-bangunan dan rumah-rumah kediaman terutama pangsapuri di seluruh pulau Singapura turut dihiasi dengan bendera jalur merah putih negara ini bagi memeriahkan suasana sambutan hari kebangsaan itu.

Kain-kain rentang yang tertulis ungkapan ucap selamat seperti 'Happy Birthday Singapore', 'Celebrating the Singapore Spirit', 'We have Confidence in Our Future' dan 'Majulah Singapura' banyak menghiasi bangunan-bangunan kerajaan dan perniagaan.

-- BERNAMA

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...