Tuesday, June 9, 2009

Hoki Piala Dunia Remaja: Penjaga Gol Korea Disyaki Mangsa H1N1

JOHOR BAHARU, 9 Jun (Bernama) -- Penjaga gol Korea Selatan Kang Hyun Woo mungkin tidak dapat diturunkan pada baki perlawanan Kejohanan Hoki Piala Dunia Remaja di sini selepas menghidap deman panas dua hari lepas.

Beliau kini diletakkan di bawah kuarantin di Hospital Sultanah Aminah di sini sebagai langkah berjaga-jaga berikutan penularan wabak influenza A(H1N1).

Pegawai perubatan kejohanan tersebut Dr Kamarul Hashimi mengesahkan bahawa pemain itu telah dikuarantin dan mungkin mengambil masa selama 10 hari sebelum dibenarkan keluar dari hospital berkenaan.

"Kami tidak pasti punca selesema yang dihidapi oleh pemain itu tetapi berpendapat adalah baik untuk mengasingkan pemain itu untuk ketika ini," katanya.

Kang tidak bermain ketika pasukannya menewaskan Malaysia 2-0 malam tadi dan mengatasi Amerika Syarikat 7-0 Ahad lalu.

"Hasil ujian saringan wabak berkenaan akan mengambil masa beberapa hari dan kami akan sentiasa mengawasi keadaannya," katanya.

Setiausaha Persekutuan Hoki Malaysia (MHF) Mohamed Hashim Yusof berkata bahawa pihaknya telah mengambil semua langkah berjaga-jaga supaya tidak mahu pemain lain dijangkiti penyakit itu.

"Pasukan perubatan khas diletakkan di hotel penginapan bagi memantau semua pemain dan pegawai. Kami memberi jaminan kepada semua pasukan bahawa pihak penganjur sentiasa bersedia menghadapi sebarang situasi," katanya.

-- BERNAMA

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...