Jun 27, 09
Tawaran RM300 kepada penduduk Manek Urai sahaja. Tidak usah pulang membuang undi pada pilihanraya kecil 14 Julai ini jika mahu ganjaran tersebut, lapor akhbar web PAS hari ini.
Memetik kenyataan Ketua Pemuda PAS Kelantan, Abdul Latif Abdul Rahman, Harakahdaily melaporkan wang itu sebagai habuan untuk menggalakkan pemilih memulaukan proses pembuangan undi.
"Saya diberitahu agen-agen Umno bergerak mencari pengundi yang tinggal di luar cuba mempengaruhi pengundi terbabit supaya tidak pulang mengundi dengan membuat pelbagai tawaran," katanya.
"Antaranya menawarkan wang tunai sebanyak RM300 dengan syarat tidak pulang mengundi."
Menurut akhbar web itu lagi, Umno kini berhempas pulas merancang pelbagai strategi bagi memastikan kerusi DUN tersebut, kawasan kubu kuat PAS, terlepas ke tangannya.
PAS malam tadi mengumumkan seorang usahawan perniagaan ikan, yang juga bendahari parti itu kawasan Kuala Krai, Fauzi Abdullah sebagai calon dalam pilihanraya kecil yang bermula 6 Julai ini.
Pilihanraya itu dipanggil susulan kematian penyandangnya Ismail Yaacob pada 22 Mei lalu.
Wakil rakyat PAS ini menguasai kerusi tersebut selama lima penggal kecuali antara 2004 hingga 2008 apabila beliau tidak bertanding di situ.
BN akan mengumumkan calonnya, seawal-awalnya esok.
No comments:
Post a Comment