Jun 20, 09
Naib Presiden Gerakan, Huan Cheng Guan digantung keahliannya selama tiga tahun. Ia diputuskan oleh mesyuarat Jawatankuasa Pusat (CWC) Gerakan malam tadi.
Sepanjang tempoh tersebut jawatan Huan sebagai naib presiden digantung dan beliau tidak boleh mengambil bahagian dalam sebarang aktiviti parti
Setiausaha Agung Gerakan, Teng Chang Yeow berkata, keputusan tersebut disebut selepas CWC mempertimbangkang semua fakta dan faktor terbabit.
Menurutnya, tindakan tersebut diambil kerana tindak tanduk Huan yang prejudis terhadap kepentingan parti itu dengan secara terbuka mengecam parti dan kepimpinannya, mengisytiharkan untuk meletak jawatan dan mengancam untuk membawa penyokongnya meninggalkan Gerakan.
Teng berkata, semua kenyataan Huan itu yang dibuat melalui media kerana beliau dan beberapa pemimpin akar umbi parti itu membantah pelantikan seorang penyelaras dalam sebuah kawasan pilihanraya di Pulau Pinang.
Katanya, Chuan yang juga anggota CWC yang membuat keputusan muktamad mengenai pelantikan penyelaras tersebut, telah membantah atas alasan orang yang dicalonkan itu dibawa masuk dari luar.
Dituduh hasut penyokong
Namun, kata Teng, jawatankuasa pusat tidak menganggapnya sebagai satu alasan yang sah.
"Hanya selepas CWC membuat keputusan, telah timbul dakwaan-dakwaan yang lain," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
"Sebagai seorang naib presiden yang dipilih, sepatutnya saluran dalaman parti digunakan untuk menyuarakan sebarang pandangan dan sentimen, tetapi Huan dan penyokongnya memilih untuk berbuat demikian melalui media.
"Lebih teruk lagi, terdapat bukti yang menunjukkan beliau telah menghasut penyokongnya untuk menggantung kain pemidang, malah dilaporkan telah bertindak menghubungi pihak pembangkang," katanya.
Teng berkata, tindak tanduk negatif yang keterluan seperti itu tidak boleh diterima.
Tambahan lagi, katanya, ini bukan pertama kali Huan membuat kenyataan seumpama itu dalam media, walaupun tidak seserius kali ini.
Pemohonan maaf
Menurut Teng, Presiden Gerakan, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon sendiri telah memberi amaran kepada Huan.
Tetapi kali ini, tegas beliau, Huan telah melakukan tindak tanduk yang lebih teruk lagi.
Sehubungan itu, katanya, beberapa pemimpin parti berpandangan bahawa tindak tanduk seperti itu sewajarnya dikenakan hukuman yang setimpal.
"Bagaimanapun, dengan mengambil permohonan maaf beliau secara bertulis dan terbuka kepada presiden, maka CWC memutuskan untuk menggantung keahliannya.
"Di bawah perlembagaan parti, jika tidak puas hati dengan keputusan tersebut, Huan berhak mengemukakan rayuan kepada jawatan pusat dalam tempoh 14 hari dari tarikh dimaklumkan mengenai hukuman tersebut," kata Teng.
No comments:
Post a Comment