Saturday, June 20, 2009

Perompak Gagal Larikan Mesin ATM Guna Trak Angkat Susun

KUALA LUMPUR, 20 Jun (Bernama) -- Seorang lelaki bertindak nekad merempuh cermin hadapan sebuah stesen minyak di Serdang Jaya dekat sini menggunakan trak angkat susun dengan harapan dapat melarikan mesin ATM di dalam stesen minyak itu.

Namun hasrat perompak tersebut tidak kesampaian apabila penggera keselamatan yang dipasang di dalam premis berkenaan berbunyi sejurus pintu cermin tersebut dipecahkan.

Suspek yang tidak berputus asa itu tetap mencuba berkali-kali untuk melarikan ATM berkenaan namun usahanya itu gagal apabila 'lengan' trak angkat susun itu pula melekat di pintu cermin stesen minyak tersebut.

Ketua Polis Selangor Datuk Khalid Abu Bakar berkata dalam kejadian kira-kira pukul 3.40 pagi itu, perompak tersebut yang panik kemudiannya terus melarikan diri dengan meninggalkan trak angkat susun itu begitu sahaja.

"Perompak itu terus melarikan diri setelah menyedari usahanya tidak membuahkan hasil ditambah penggera sudah berbunyi.

"Ketika kejadian, stesen minyak tersebut tidak beroperasi. Polis percaya trak angkat susun itu dicuri namun kita akan siasat siapa pemilik alat itu yang ditinggalkan itu," katanya kepada pemberita ketika ditemui pada sambutan Hari Keluarga Polis Diraja Malaysia di Taman Tasik Titiwangsa di sini hari ini.

Khalid berkata polis turut akan meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di stesen minyak itu bagi mengenalpasti suspek serta bilangan mereka yang terlibat dalam kejadian tersebut.

Siasatan awal mempercayai terdapat sebuah lori yang menunggu bagi membantu mengangkut mesin serta melarikan mesin ATM itu.

Beliau berkata insiden cubaan melarikan ATM menggunakan trak angkat susun itu adalah kali pertama dilaporkan berlaku di Selangor.

--BERNAMA

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...