Jun 15, 09
Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin mencetuskan drama lagi sejurus selepas mengangkat sumpah sebagai anggota baru parlimen bagi Bukit Gantang pagi ini - melaungkan "hidup rakyat, bubar DUN".
Dengan tujuan menarik perhatian ramai berhubung perjuangannya untuk menuntut jawatan menteri besar Perak, yang dirampas BN dalam pertukaran kerajaan pada Februari lalu, laungannya itu disambut pula oleh anggota-anggota Pakatan Rakyat dalam dewan tersebut.
Akibatnya, menteri besar Pakatan Rakyat itu diperintah meninggalkan Dewan Rakyat bersama enam lagi ahli parlimen pembangkang.
Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia mengarahkan berbuat demikian atas dakwaan "berkelakuan kasar".
Mereka juga didakwa "melanggar etika berpakaian" apabila mengenakan kain lilitan kepala berwarna hitam dengan tulisan putih "Bubar DUN" di ruang persidangan.
Mereka bertujuh turut digantung daripada menghadiri sidang dewan selama dua hari.
Selain Mohammad Nizar, mereka yang mengalami nasib yang sama: Datuk Ngeh Khoo Ham (DAP-Beruas), Nga Kor Ming (DAP-Taiping), Datuk Mahfuz Omar (PAS-Pokok Sena), Dr Hatta Ramali (PAS-Kuala Krai), Dr Dzulkefly Ahmad (PAS-Kuala Selangor) dan N Gobalakrishnan (PKR-Padang Serai).
Mohammad Nizar bersama Nga dan Ngeh - kedua-duanya bekas exco kerajaan Pakatan Perak - antara pemimpin yang paling aktif dan lantang menuntut dikembalikan kerajaan yang mereka pernah kuasai sejak Mac tahun lalu.
Mohammad Nizar memenangi kerusi parlimen tersebut dalam satu pilihanraya kecil 7 April lepas setelah ia kosong akibat kematian wakil rakyat PAS di situ, Roslan Shaharum.
No comments:
Post a Comment