KUALA LUMPUR: Tindakan melaungkan dan memakai lilitan "BUBAR DUN" oleh bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin dan sebahagian ahli-ahli Parlimen Pakatan Rakyat pagi tadi disifatkan sebagai "tindakan memalukan."
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata, tindakan itu sememangnya telah dirancang oleh pembangkang sempena majlis angkat sumpah Nizar sebagai Ahli Parlimen Bukit Gantang.
"(Apa yang berlaku) satu perkara yang amat memalukan kerana tidak menunjukkan satu teladan, satu contoh sebagai ahli Yang Berhormat.
"Saya kesal dan berharap ia tidak menjadi contoh, berharap tindakan dan perangai ini tidak mewakili pandangan majoriti ahli-ahli Parlimen," kata Nazri yang bertanggungjawab terhadap hal ehwal Parlimen.
Nazri mengulas tindakan Nizar yang melaungkan "bubar DUN" dan kemudian mengikat lilitan "BUBAR DUN" Perak sambil diikuti beberapa wakil rakyat Pakatan Rakyat.
Nizar memenangi kerusi Parlimen Bukit Gantang awal April lalu.
Termasuk beliau tujuh wakil rakyat Pakatan diarah keluar Dewan Rakyat oleh Speaker Tan Sri Pandikar Amin Mulia.
Mereka 'digantung' selama dua hari ini sehingga esok.
Jelas Nazri, setiap pihak yang memasuki Dewan Rakyat dikehendaki mematuhi kod etika pakaian yang ditetapkan.
"Pakaian kita pun, masuk ke dalam Dewan ditetapkan oleh kod pakaian," katanya.
Sebarang pakaian di luar kod etika, kata beliau, jika hendak diamalkan perlu mendapatkan kebenaran Speaker, kata Nazri.
"(Malah) apa-apa dokumen yang hendak diletakkan di atas meja (wakil rakyat di Dewan) pun kena mendapat kebenaran," katanya.
Mengenai komen Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa pemakaian lilitan diamalkan di negara lain, Nazri memberitahu, "kalau Ketua Pembangkang kata di luar negara, itu di luar negara, ini Malaysia... tak boleh dilakukan, perlu dihormati."
Ketika ditanya mengapa pemakaian lilitan di kalangan wakil rakyat dibenarkan semasa kempen anti-Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) sebelum, beliau memberitahu, banyak perkara yang dilakukan pada masa lalu adalah atas "dasar terlepas pandang."
"Yang penting daripada pemerhatian mata Speaker, kalau Speaker tidak nampak terlepaslah... tapi apabila perkara gila berlaku macam pagi tadi, dia menarik perhatian, tiba-tiba ramai yang pakai.
"Maka daripada segi perhatian Speaker dan mengambil keputusan dia.
"Dulu dia pakai lilitan, kita tak sedar pun, kita tidak tahu pun ada yang pakai... ada juga Ahli Parlimen yang tidak membangkitkan perkara itu pun.
"Jadi keputusan dibuat berdasarkan tarikan perhatian berdasarkan perkara itu baru kita ambil keputusan (mengarah keluar Dewan Rakyat)," katanya.
No comments:
Post a Comment