PETALING JAYA: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pangkor, Datuk Dr. Zambry Abdul Kadir dilantik menjadi Menteri Besar Perak yang baru.
Perkara itu diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi di Subang sebentar tadi.
Beliau berkata Sultan Perak Sultan Azlan Shah telah memperkenan pemilihan Zambry sebagai Menteri Besar.
Upacara mengangkat sumpah Menteri Besar baru itu akan diadakan di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar pada 3.30 petang, esok.
Upacara mengangkat sumpah Exco pula akan diadakan pada 10 Feb pukul 10 pagi di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar.
Dalam pada itu, Setiausaha Umno Negeri Perak, Datuk Ramly Zahari ketika dihubungi mengucapkan tahniah diatas perlantikan Zambry sebagai Menteri Besar Perak yang baru.
"Tahniah kepada ADUN Pangkor, kami (Umno Perak) menyambut baik keputusan yang dibuat Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri yang juga mendapat perkenan Sultan Perak berhubung lantikan itu," katanya.
Beliau berharap semua pihak sama-sama berganding bahu mentadbir Perak dengan baik demi kepentingan rakyat.
"Selepas ini semua pihak kena bekerja keras untuk memastikan pembangunan untuk rakyat dilaksanakan dengan segera.
"Tambahan pula keadaan kerajaan Barisan Nasional (BN) di Perak ketika ini hampir sama sewaktu Pakatan Rakyat dahulu kerana kelebihan majoriti yang kecil.
"Jadi tumpuan kepada pembangunan serta kebajikan rakyat harus diutamakan bagi memastikan Perak terus kekal mentadbir Perak," katanya.
Bagaimanapun petang tadi, Zamry ketika duhubungi memaklumkan calon bagi Menteri Besar baru masih belum diputuskan.
"Setakat sekarang kita belum putuskan siapa calonnya dan saya fikir paling cepat kemungkinan esok pagi untuk Menteri Besar baru angkat sumpah," katanya.
No comments:
Post a Comment