Monday, March 29, 2010

Pameran keranda di Muzium Negara 1 April hingga 20 Jun

KUALA LUMPUR 29 Mac – Keranda kayu balak berusia lebih 1,000 tahun yang pernah digunakan oleh masyarakat di Sabah dan keranda Salong yang digunakan oleh masyarakat Sarawak adalah antara tarikan yang disediakan bagi membawa orang ramai ke pameran keranda yang akan berlangsung di Muzium Negara dari 1 April hingga 20 Jun ini.

Selain keranda berusia lebih 1,000 tahun yang bermotifkan kehidupan manusia dan alam semula jadi masyarakat Sabah, 28 buah lagi keranda lama dari pelbagai kaum di Malaysia dan rantau ASEAN iaitu Indonesia, Thailand dan Filipina akan turut dipamerkan.

Ketua Pengarah Jabatan Muzium Negara, Datuk Ibrahim Ismail berkata, pameran keranda itu bertujuan memberi pendedahan buat orang ramai mengenai kepercayaan, adat serta amalan masyarakat lain khususnya dalam upacara pengebumian.

"Kami ingin memberitahu pengunjung mengenai cara-cara pengebumian serta kepercayaan yang diamalkan oleh masyarakat dahulu, di mana perkara seperti ini tidak diketahui oleh masyarakat masa kini,” katanya dalam satu persidangan media mengenai pameran keranda itu di sini hari ini.

Beliau berkata, keranda moden bersalut emas yang digunakan oleh masyarakat Cina yang bernilai hampir setengah juta ringgit akan turut dipamerkan tetapi hanya selama tiga hari mulai 1 April.

Pameran itu dibuka setiap hari bermula pukul 9 pagi hingga 6 petang. – Bernama

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...