Sunday, January 23, 2011

Wakil rakyat sambut syor wajib ujian kesihatan

Beberapa anggota parlimen menyambut baik cadangan Kementerian Kesihatan untuk mewajibkan wakil rakyat menjalani ujian kesihatan setiap tahun untuk mengenal pasti tahap kesihatan mereka bagi memastikan mereka dapat menjalankan tugas dengan baik.

Bagi Timbalan Speaker Dewan Rakyat Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar, anggota Parlimen bukan sahaja hanya perlu menjalani pemeriksaan kesihatan setiap tahun malah perlu diberi latihan bagaimana untuk mengawal tekanan memandangkan tanggungjawab mereka.

Anggota parlimen Santubong itu berkata walaupun ajal dan maut di tangan Tuhan, tetapi wakil rakyat mestilah menjaga kesihatan bagi memastikan mereka sihat untuk berkhidmat.

Sebagai orang yang berpengalaman sebagai wakil rakyat, iaitu telah menjadi wakil rakyat sejak 20 tahun lepas dan mewakili dua kawasan parlimen yang berbeza iaitu di Batang Lupar selama tiga penggal (1990-2004) dan di Santubong sejak pilihan raya umum 2004 hingga kini, beliau berkata terdapat masalah yang berbeza dari satu kawasan ke satu kawasan.

"Untuk jadi wakil rakyat perlu bersedia dengan semua ini," katanya kepada Bernama apabila diminta mengulas kenyataan Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai bahawa pihaknya akan membawa ke mesyuarat mingguan jemaah menteri minggu ini untuk mewajibkan wakil rakyat menjalani pemerikasaan kesihatan berikutan banyak pilihan raya kecil diadakan berikutan kematian wakil rakyat disebabkan masalah kesihatan. 

Sejak pilihan raya umum ke-12 pada Mac 2008, sebanyak 14 pilihan raya kecil telah diadakan dengan 10 daripadanya berikutan kematian wakil rakyat kerana pelbagai masalah kesihatan.

Sementara yang terbaru ialah kematian ADUN Merlimau Datuk Mohamad Hidhir Abu Hassan, 54, pada Khamis lepas kerana serangan jantung yang menjadikan jumlah pilihan raya kecil meningkat kepada 15.

Dua lagi wakil rakyat BN yang meninggal kerana serangan jantung ialah Datuk Razali Ismail anggota Parlimen Kuala Terengganu pada 28 Nov 2008 dan ADUN Batang Ai Datuk Dublin Unting Batang Ai, 55, pada 24 Februari 2009.

Selain itu tiga wakil rakyat Pas iaitu anggota parlimen Bukit Gantang Roslan Shaharom, 50, pada 9 Feb 2009, ADUN Manek Urai Ismail Yaacob, 60, (25 Mei 2009), ADUN Permatang Pasir Datuk Hamdan Abdul Rahman,63, (31 Julai 2009) juga meninggal akibat sakit jantung.

Seramai tiga wakil rakyat meninggal kerana penyakit kanser iaitu anggota parlimen Hulu Selangor Datuk Dr Zainal Abidin Ahmad dari PKR pada 25 Mac 2010 kerana barah otak, anggota Parlimen Sibu Datuk Robert Lau dari BN, 68, pada 9 April 2010 kerana kanser hati dan Adun Galas Chek Hashim Sulaima dari Pas, 47, kerana barah usus pada 27 Sept 2010.

Bagi anggota Parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar cadangan Liow itu adalah satu inisiatif yang baik, malah beliau sendiri sejak menjadi wakil rakyat pada 1999 sentiasa menjalani pemeriksaan kesihatan berkala.

"Tetapi pemeriksaan ini bukanlah satu cara untuk mencegah kematian. Mungkin dalam tempoh enam bulan selepas melakukan pemeriksaan kita jatuh sakit, kita tidak akan tahu perkara itu dan ianya di luar kawalan doktor," kata Naib Presiden Pas itu.

Anggota parlimen Kota Belud Datuk Abdul Rahman Dahalan pula mencadangkan maklumat mengenai kesihatan wakil rakyat itu perlu dirahsiakan dengan hanya pemimpin parti sahaja yang mengetahui mengenainya.

Abdul Rahman juga mencadangkan supaya wakil rakyat juga perlu berhati-hati dalam menggunakan pengangkutan semasa melawat kawasan kerana ada yang terpaksa menaiki bot ataupun menaiki kenderaan berjam-jam untuk sampai ke kawasan masing-masing terutama di luar bandar.

Bagi Timbalan Pengerusi DAP Dr Tan Seng Giaw, 69, yang merupakan antara anggota Parlimen paling lama iaitu anggota Parlimen Kepong sejak pilihan raya umum 1982 dan seorang doktor berkata berkata:

"Walaupun kita tidak boleh menjamin kesihatan seseorang selepas pemeriksaan kesihatan setiap tahun (atau berkala), ia boleh memberikan peringatan kepada mereka mengenai betapa pentingnya kesihatan itu (untuknya)."

--Bernama

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...