KOTA BHARU - Bekas penyerang Johor FC dan Kelantan, Sairozi Daud, 32, meninggal dunia di hospital pakar di sini kira-kira pukul 9.30 pagi semalam setelah menderita penyakit barah tengkuk sejak setahun lalu.
Allahyarham yang lebih mesra dengan panggilan 'Abe' di kalangan rakan-rakan meninggalkan isteri, Aisyah Norehan Azhari, 25.
Semasa arwah menghembuskan nafas terakhir, isteri dan kedua-dua orang tuanya ada di sisi.
Jenazah Allahyarham dibawa ke rumah keluarganya di Kampung Pangkal Nering Timur, Machang untuk dikebumikan selepas solat zuhur.
Utusan Malaysia 14 Disember tahun lalu melaporkan penderitaan dialami pemain tersebut yang menghidap penyakit barah tengkuk.
Penyakit dihidapinya mula dikesan awal Februari tahun lalu dan menjalani pembedahan di hospital pakar di Johor.
Selain itu, Allahyarham Sairozi menerima tujuh kali rawatan kemoterapi selain 36 kali radioterapi di hospital tersebut.
Sementara itu, Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa ketika ditemui, semalam merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham.
Menurut Annuar, pemergian arwah merupakan satu kehilangan besar buat bola sepak Kelantan.
"Arwah merupakan bekas pemain cukup dedikasi, pernah mengharumkan nama Kelantan suatu ketika dahulu," katanya.
Sairozi memulakan kerjayanya selaku pemain bola sepak Kelantan apabila membantu negeri ini memenangi kejuaraan Piala Emas Raja-Raja pada 2004.
Setahun kemudian, beliau membantu Kelantan muncul juara Piala FAM sebelum diangkat beraksi dalam Liga Perdana tahun berikutnya.
Pada 2007, beliau bersama-sama seorang lagi pemain, Azlan Ismail mengambil keputusan berhijrah ke Perlis sebelum ke Gurun, Kedah bermain bersama kelab Kuala Muda NAZA dalam Liga Perdana.
Musim 2009 menyaksikan beliau sekali lagi berhijrah ke Johor serta membantu negeri tersebut layak beraksi dalam Liga Super sebelum menamatkan perjalanan bola sepaknya bersama Johor FC.
No comments:
Post a Comment