Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS) menyaman Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim dan anggota parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua ekoran kenyataan mereka terhadap konsesi itu.
Menurut Khalid, setelah menerima dokumen saman itu, mereka memberikan arahan kepada peguam masing-masing untuk menyediakan pembelaan.
Beliau diwakili Edmund Bon dan Tony pula diawakili peguam Gobind Singh Deo.
Bagaimanapun, kata tambah Khalid, saman itu tidak mengubah pendirian mereka terhadap isu Tabung Budi yang menjadi pertikaian.
"SYABAS tidak mempunyai hak untuk meminta penguna-penguna menyerah dana kepada SYABAS kerana dana tersebut diberi oleh kerajaan negeri melalui program pemberian 20 meter padu air percuma," katanya.
Dalam sidang media di Shah Alam hari ini, Khalid berkata, tindakan SYABAS menyaman ketika proses rundingan pengambilalihan syarikat konsesi air belum selesai, menimbulkan beberapa persoalan berkenaan niatnya.
Sementara itu, menteri besar juga berkata, kerajaan negeri telah mengarahkan pegawal selia air menulis surat kepada SYABAS untuk memastikan bahawa segala biayaan guaman dalam saman ini dibayar oleh individu yang terlibat dan bukan oleh syarikat.
Katanya,syarikat tidak perlu dibelengu oleh bayaran guaman untuk kes yang jelas tidak ada kena mengena dengan fungsi SYABAS sebagai pembekal air bersih kepada rakyat Selangor.
No comments:
Post a Comment